'Keselamatan stadium tanggungjawab bersama'
Syamil Izwan Azizan
Januari 24, 2013 15:13 MYT
Januari 24, 2013 15:13 MYT
Tahap keselamatan di stadium adalah tanggungjawab bersama.
Demikian pandangan penganalisis sukan, Rizal Hashim mengenai penggunaan anggota komando bagi menjaga keselamatan di stadium.
"Bola sepak bersifat universal, tidak mengenal protokol atau darjat dan tiada peraturan yang berbeza buat mana-mana pegawai pasukan. Bagi saya tindakan membawa anggota bersenjata ke dalam stadium tidak boleh diterima dan sepatutnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kena ambil langkah yang bersesuaian," jelas Rizal.
Beliau juga berkata tindakan yang boleh mencetuskan provokasi juga seharusnya dielak bagi memastikan perkara seperti ini tidak lagi dibangkitkan.
Pemimpin persatuan bola sepak negeri ataupun kelab digesa bersikap lebih profesional kerana yang akan mendapat kesannya adalah para penyokong pasukan itu sendiri.
"Bola sepak pada amnya boleh kita anggap sebagai satu alat penyatuan tetapi pada masa yang sama juga boleh disalahguna menjadi alat provokasi.
"Sebab itu semua pemimpin bola sepak tempatan tanpa mengira status sama-sama digesa mengekalkan keharmonian dan tidak membuat sebarang provokasi terutamanya kepada penyokong-penyokong pasukan sendiri," katanya lagi.
Sebelum ini, kehadiran anggota komando Grup Gerak Khas, GGK di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu ketika aksi Liga Super antara Kelantan dan Johor Darul Takzim mengundang persoalan banyak pihak.
Tidak terkecuali Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang terkilan dengan tindakan itu.
Jelas Rizal lagi, ia menjadi satu cabaran buat FAM untuk mengubah persepsi ini agar tidak terus menjadi tumpuan.