Keselamatan penyokong Malaysia di Hanoi terjamin

Bernama
Disember 11, 2014 08:28 MYT
Kekecohan di Stadium Shah Alam yang melibatkan penyokong Malaysia dengan Vietnam di perlawanan separuh akhir pertama.
Kerajaan Vietnam memberi jaminan keselamatan penyokong Malaysia pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium My Dinh, Hanoi, esok.
Duta Besar Vietnam ke Malaysia Pham Cao Phong berkata penyokong Malaysia tidak harus bimbang hadir menyaksikan pertandingan walaupun insiden kekacauan berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam pada 7 Dis, dikesalkan.
"Apa yang berlaku di Stadium Shah Alam dikesalkan dan kami amat sedih melihat rakyat Vietnam diserang...Tetapi kami ada menerima panggilan telefon daripada Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan)...Kami bercakap mengenai hal itu.
"Kami jamin bahawa bila penyokong Malaysia datang ke Vietnam, mereka dialu-alukan.
"Vietnam adalah negara ramah mesra, sedangkan Malaysia amat rapat dengan kami...jiran dan 'saudara' dalam keluarga Asean," katanya kepada Bernama pada majlis meraikan permulaan tugas Duta Vietnam ke Malaysia, di sini hari ini.
Phong diminta mengulas mengenai kejadian baru-baru ini di mana penyokong Vietnam diserang penyokong Malaysia, semasa perlawanan Malaysia menentang Vietnam.
#AFF SUZUKI #Malaysia #Vietnam
;