Kesang Tua, asam pedas dan emas Olimpik: Hidilyn Diaz tak lupa jasa keluarga angkat
Shuhada Abdul Kadir
Julai 27, 2021 20:34 MYT
Julai 27, 2021 20:34 MYT
JASIN: Kemenangan atlet angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz dalam sukan Olimpik Tokyo 2020, semalam mencuri perhatian apabila muncul atlet pertama negara itu memenangi pingat emas pada temasya sukan berkenaan.
Bukan sahaja itu, kisahnya terkandas di Malaysia sejak tahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga terpaksa menjadikan garaj rumah keluarga angkatnya di Jasin, Melaka sebagai lokasi latihan juga, menarik perhatian dunia.
Menceritakan hal itu, pemilik rumah berkenaan Ahmad Janius Abdullah yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berkata, dia mula mengenali Hidilyn sejak tahun 2011 dalam pertandingan angkat berat.
Bermula dari situ, mereka sering berhubung sehingga pada tahun lalu, atlet wanita berusia 30 tahun itu memaklumkan ingin mengubah angin berlatih di Malaysia sebagai persiapan untuk kelayakan Olimpik di Colombia pada Mac 2020 lalu.
Bagaimanapun, kejohanan itu dibatalkan menyebabkan Hidilyn bersama dua jurulatihnya terkandas di ibu negara ekoran PKP dan tetap meneruskan latihan di kondominium di Bukit Jalil sebelum menumpang pula di Pusat Latihan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.
Atas beberapa faktor yang menyebabkan latihan mereka sering terganggu, Ahmad Janius kemudian mengambil keputusan membawa mereka ke rumah pusaka ibu mertuanya di Kampung Kesang Tua sebelum memulakan latihan di garaj berkenaan.
“Kita kenal lama. Saya kenal dia pada 2011. Bila ada pertandingan baru berjumpa. Bila berjumpa, dia nak pergi kelayakan Olimpik di Columbia pada bulan Mac tahun lepas, jadi dia saja tukar angin nak berlatih di Kuala Lumpur sebelum terbang ke sana.
“Tapi, kejohanan tu tak jadi, dan dia pun tak jadi terbang dan terkandas dekat Kuala Lumpur. Lama-lama kita santuni dia sebagai tetamu dan atlet, dan kita tunjukkan bahawa di Malaysia ni, kita boleh jaga dia walau dia jauh dari keluarga,” ujar Ahmad Janius.
Katanya, rumah pusaka itu awalnya hanya dipenuhi belukar sebelum dia membuat beberapa pengubahsuaian bagi membantu latihan Hidilyn memandangkan atlet itu perlu ruang latihan yang selesa.
Ujarnya, wanita itu amat mementingkan kesempurnaan terutamanya tentang fasiliti latihan selain tidak ‘kedekut ilmu’ membantu melatih atlet-atlet pelapis yang turut membuat latihan di lokasi sama.
BACA: 'Terima kasih, Malaysia boleh!' - Pemenang pingat emas Filipina hargai layanan mesra rakyat Malaysia
Tambahnya, meskipun pada awalnya Hidilyn kekok untuk membiasakan diri dengan suasana kampung itu, namun lama-kelamaan dia bukan sahaja mengakui selesa, malah jatuh cinta dengan suasana Melaka termasuk masakan popular, asam pedas.
Ujar Ahmad Janius, atlet wanita itu sangat komited dan berdisiplin sepanjang menjalani latihan malah mempunyai peribadi sangat baik apabila tidak lupa menghubunginya sebelum memulakan kejohanan serta selepas dinobatkan sebagai juara.
Dalam pada itu, dia turut berharap kisah atlet Filipina ini yang memanfaatkan waktu latihan di Melaka sehingga memenangi temasya sukan dunia itu membuka mata banyak pihak termasuk kerajaan dalam bidang sukan itu.
“Saya harapkan kerajaan memberi tumpuan dalam pembangunan sukan angkat berat ni sebab ia sukan individu. Sebenarnya kita kena faham, angkat berat ni orang takut. Dari segi mindset, orang kata siapa main angkat berat dia akan jadi pendek, sebenarnya itu salah.
“Kena tukar mindset itu sama ada ilmu itu betul atau tak betul. Masyarakat kena terima sukan angkat berat ni boleh menghasilkan pingat (untuk negara). Sebenarnya boleh!” katanya.
Semalam, Hidilyn Diaz melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama Filipina memenangi pingat emas pada temasya sukan Olimpik.
Hidilyn yang kini berusia 30 tahun mengucup kilauan emas apabila memenangi kategori 55 kilogram (kg) wanita di venue Tokyo International Forum.
#Hidilyn Diaz
#pingat emas
#angkat berat
#temasya sukan
#Olimpik Tokyo
#Jasin
#Melaka
#keluarga angkat
#Malaysia
#PKP
#ahmad janius abdullah