Kesakitan hantui kepulangan Super KIP di GP Republik Czech

Bernama
Ogos 3, 2019 08:15 MYT
Walaupun gembira apabila kembali semula selepas tiga bulan namun pelumba yang lebih dikenali sebagai Super KIP itu terpaksa bergelut dengan brek selepas terasa kesakitan pada jari kelingkingnya. - Instagram officialsuperkip_89
Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi akhirnya kembali semula selepas enam pusingan Kejuaraan MotoGP Dunia pada Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Automotodrom Brno, pada Jumaat.
Bagaimanapun, pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing Team berusia 20 tahun itu gagal memperagakan aksi memberangsangkan pada sesi latihan bebas selepas mengadu kesakitan pada jari kelingking kanannya.
Beliau hanya mampu menduduki tangga ke-27 daripada 31 pelumba pada sesi latihan bebas pertama dengan catatan masa dua minit 04.497 saat (s) dan tempat ke-30 pada sesi kedua dengan catatan masa terpantas 2:04.746s.
Walaupun gembira apabila kembali semula selepas tiga bulan namun pelumba yang lebih dikenali sebagai Super KIP itu terpaksa bergelut dengan brek selepas terasa kesakitan pada jari kelingkingnya.
"Walaupun mengalami kesakitan pada jari tetapi masih boleh berlumba pada sesi latihan pertama tetapi pada sesi kedua, kesakitan bertambah teruk selepas terlanggar sebuah motosikal di litar...oleh itu saya terpaksa berhenti," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukannya di sini, malam tadi.
"Saya lebih yakin dengan jentera tetapi tidak boleh melakukan dengan lebih baik kerana tidak selesa dengan kesakitan di jari. Saya akan jumpa doktor jika perlu mengambil ubat tahan sakit. Saya harap keadaan bertambah baik esok (Sabtu)," katanya.
Pelumba kelahiran Perak itu mengalami kecederaan tersebut selepas terjatuh pada sesi latihan bebas di GP Sepanyol di Litar Jerez pada 4 Mei lalu.
Berikutan kecederaan tersebut, pasukan tersebut terpaksa membawa masuk pelumba Itali, Mattia Pasini untuk menggantikan tempat Khairul Idham.
Bagaimanapun, Pasini hanya beraksi pada dua pusingan di GP Perancis di Litar Le Mans pada 19 Mei dan GP Itali di Litar Del Mugello pada 2 Jun sebelum mengalami kecederaan tulang selangka dalam perlumbaan motorcross selepas itu.
Tempat beliau kemudian diganti oleh pelumba gantian dari Jerman, Jonas Folger.
-- BERNAMA
#bergelut dengan brek #GP Republik Czech #Grand Prix #Khairul Idham Pawi #Litar Automotodrom Brno #Moto2 #MotoGP #pelumba #Petronas #Petronas Sprinta Racing Team #sakit jari kelingking
;