Kes Doping: Onana digantung 12 bulan
Astro Arena
Februari 6, 2021 08:31 MYT
Februari 6, 2021 08:31 MYT
PENJAGA gol Ajax, Andre Onana, digantung 12 bulan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berikutan kes doping, demikian disahkan kelab Eredivisie itu.
Ajax dan Onana akan membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk mencabar hukuman itu selepas ujian saringan luar kejohanan yang dilakukan pada Oktober 2020 mendapati terdapat bahan larangan jenis Furomide dalam air kencing pemain tu.
Kelab itu berkata, keputusan ujian dadah itu berlaku kepada Onana, 24, susulan secara tidak sengaja telah mengambil Lasimac -- ubat yang diberikan oleh isterinya -- ketika dia tidak sihat.
UEFA, bagaimanapun, menerima bahawa pemain kebangsaan Cameroon "tiada niat untuk melakukan penipuan" dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Ajax.
Kenyataan itu menambah: "Bagaimanapun, UEFA percaya, berdasarkan undang-undang antidoping yang ditetapkan, seseorang atlet sentiasa mempunyai kewajipan untuk memastikan bahan terlarang tidak memasuki badan mereka."
Penggantungan itu bermula sejak semalam dan dikenakan terhadap "sebarang bentuk aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan antarabangsa".
Pengarah Urusan Ajax, Edwin van der Sar, berkata: "Kami secara jelas melarang penggunaan dadah perangsang prestasi, kami sememangnya mahukan sukan yang bersih.
"Ini adalah satu kerugian besar, bukan sahaja buat Andre tetapi juga buat keseluruhan kelab kami kerana Andre adalah penjaga gol terbaik, dia telah membuktikan nilainya di Ajax sejak bertahun-tahun lalu dan amat popular dalam kalangan penyokong.
"Kami berharap penggantungan itu dapat dipendekkan daripada 12 bulan kerana dia sememangnya tidak berniat menggunakannya untuk menguatkan badan atau meningkatkan prestasinya," katanya.
#bola sepak
#mahkamah
#Dadah
#sukan
#undang-undang
#ujian saringan
#Ajax
#UEFA
#doping
#Mahkamah Timbang Tara Sukan
#CAS
#Andre Onana
#rayuan
#ubat
#Lasimac
#Edwin Van der Sar
#gantung
#penggantungan