Kerjasama lima tahun Astro & 1MCC

Zulhelmi Zainal Azam
April 2, 2013 01:29 MYT
Astro terus memainkan peranan penting dalam membangunkan komuniti bola sepak di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan menyifatkan kerjasama antara Astro dan 1Malaysia Cardiff City, 1MCC memberi peluang kepada pemain muda negara menimba pengalaman berharga.
Pada masa sama, beliau juga yakin usahasama itu mampu melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat besar pada masa depan.
"Kami mahu kerjasama lima tahun ini diteruskan kerana ia memberi peluang kepada para peserta belajar daripada mereka yang terbaik" jelas Rohana selepas hadir dalam majlis khas ketika perlawanan antara Cardiff City dan Blackburn Rovers disini, semalam.
Pada majlis yang diadakan pada waktu rehat perlawanan, wakil tertinggi Akademi 1MCC menyerahkan jersi pasukan itu kepada Rohana sebagai simbolik lima tahun kerjasama itu.
Kerjasama ini bermula sejak September 2012 dengan 1MCC dan Astro menganjurkan program Kem Bola yang membabitkan penyertaan 2530 ribu kanak-kanak seluruh negara.
Seramai 32 peserta terbaik dipilih untuk menyertai program latihan di Cardiff dari 23 Mac lalu hingga 6 April ini.
1MCC merupakan usaha bahagian komuniti dan pendidikan Cardiff City yang dimiliki usahawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan untuk membangunkan bola sepak akar umbi di Britain dan Malaysia.
#1mcc #Astro #bola sepak #Cardiff City #kem bola