Kerja ganti rumput Stadium Darul Makmur bermula pertengahan Ogos
Sinar Harian
Jun 2, 2024 11:30 MYT
Jun 2, 2024 11:30 MYT
KUANTAN: Kerja-kerja penggantian rumput sedia ada di Stadium Darul Makmur di sini akan dilaksanakan bermula pertengahan Ogos ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal berkata, rumput sedia ada jenis 'cow grass' akan diganti dengan rumput jenis Bermuda.
Menurutnya, rumput jenis Bermuda lebih baik berbanding rumput 'cow grass', lebih bersih dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Tempoh masa penukaran dan proses naik taraf rumput ini dijangka akan mengambil masa selama enam bulan dengan anggaran kos RM1.6 juta.
"Saya berharap usaha menaik taraf rumput atau padang ini akan memberi tambah nilai kepada Stadium Darul Makmur itu sendiri dalam pakej pemodenan yang dilakukan," katanya.
Fadzli berkata, usaha menaik taraf rumput di Stadium Darul Makmur antara langkah permodenan imej stadium itu yang sedang giat dilakukan.
"Insya-ALLAH lebih banyak lagi pembaharuan lain yang akan dilaksanakan pihak Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM)," katanya.
Sementara itu katanya, PSDM membuka peluang kepada rakyat Pahang menggunakan padang sedia ada di stadium itu dengan menawarkan harga sewaan lebih rendah sehingga pertengahan Ogos ini.
“Kadar sewaan pada sebelah siang hanya RM500 selama dua jam dan kadar pada sebelah malam untuk tempoh yang sama hanya RM1,000.
“Anak-anak Pahang yang berminat boleh daftar di laman web Perbadanan Stadium Darul Makmur untuk bermain atau menggunakan padang di stadium ini,” katanya. - Sinar Harian