Kerajaan tambah peruntukan RM30 juta khusus untuk pembangunan bola sepak - PM

Pia Ernadya
Januari 12, 2025 20:06 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tersebut akan digunakan bagi meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meningkatkan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk pembangunan sukan bola sepak yang mana RM15 juta lagi akan dibiayai oleh pihak swasta.

Ringkasan AI
  • Kerajaan menyediakan RM30 juta, termasuk RM15 juta dari pihak swasta, untuk pembangunan Harimau Malaya di semua peringkat dan kejohanan antarabangsa.
  • Dana akan digunakan untuk pengurusan FAM, pembangunan pemain pelapis, dan pendedahan skuad bawah-23 bagi memastikan pasukan kekal kompetitif.
  • Perdana Menteri berharap Pemangku Sultan Johor dan rakyat Malaysia memberi sokongan penuh kepada Harimau Malaya untuk mencapai tahap antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tersebut akan digunakan bagi meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.
"Dana ini juga akan dimanfaatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total dari setiap sudut bagi memastikan para pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik.
"Usaha juga akan ditumpukan kepada mewujudkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya, dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad bawah-23 negara dan ini secara tidak langsung membolehkan pasukan utama sentiasa dilengkapi dengan para pemain yang berpengalaman," katanya menerusi sebuah kenyataan media pada Ahad.
Tambah Anwar, beliau juga berharap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut akan memberikan sokongan dalam memperkembangkan industri bola sepak ini.
"Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya," kata Anwar.
Selain itu, beliau turut berharap agar rakyat Malaysia sentiasa memberikan sokongan serta kepercayaan penuh kepada pasukan Harimau Malaya termasuk pihak pengurusan dalam mengangkat nama negara ke peringkat tertinggi dan standing dengan nama bola sepak antarabangsa.
#Anwar Ibrahim #FAM #harimau Malaya #peruntukan #bola sepak
;