Kerajaan Pulau Pinang akan beri ganjaran kepada Mohd Faiz - Guan Eng

Bernama
Januari 10, 2017 19:30 MYT
GUAN ENG: Kerajaan Pulau Pinang akan memberi ganjaran kepada Mohd Faiz Subri selepas beliau dinobat sebagai pemenang anugerah Puskas FIFA. - Gambar fail
Kerajaan Pulau Pinang akan memberi ganjaran kepada Mohd Faiz Subri selepas beliau dinobat sebagai pemenang anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang diumum awal pagi tadi.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata perbincangan akan diadakan terlebih dahulu sebelum memutuskan apakah bentuk sumbangan sebagai menghargai jasa pemain tengah itu setelah mengharumkan nama negeri dan negara.
"Pencapaian Mohd Faiz adalah sesuatu yang unik kerana beliau merupakan rakyat Malaysia pertama berdiri di pentas yang disaksikan seluruh dunia (dalam bidang bola sepak).
"Ingin saya tegaskan, kejayaan Mohd Faiz adalah kerana kerja kuat, dedikasi dan disiplin beliau sebagai seorang pemain bola sepak dan ia bukanlah kerana hanya nasib," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Lim berkata kejayaan Mohd Faiz juga diharap dapat dijadikan suntikan semangat dan contoh kepada generasi muda untuk kuat berusaha dalam mencapai kejayaan dalam apa juga bidang.
Mohd Faiz dipilih sebagai antara tiga finalis anugerah berprestij itu yang berlangsung di Zurich, Switzerland, Isnin.
Jaringan yang disifatkan 'melanggar hukum fizik' itu dilakukan Mohd Faiz, anak kelahiran Ayer Hitam, Kedah, ketika membantu skuad Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Feb tahun lepas.
Dua lagi calon bagi anugerah itu ialah Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.
-- BERNAMA
#Anugerah Puskas #FIFA #Lim Guan Eng #Mohd Faiz Subri
;