Kerajaan negeri rancang serap atlet berkhidmat dalam sektor awam
Bernama
Januari 10, 2021 08:53 MYT
Januari 10, 2021 08:53 MYT
IPOH: Perak merancang memberi peluang kepada atlet negeri yang berkelayakan, untuk mengisi kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam, bagi memastikan kehidupan mereka yang lebih terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Khairul Shahril Mohamed berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk dibincangkan secara terperinci.
“Saya sebenarnya dah bercakap dalam MMK sebelum ini secara tidak formal, tetapi kali ini saya akan usulkan dengan kertas cadangan yang lengkap, berkaitan perkara ini.
“Bukanlah kita katakan mereka (atlet) ini ada keistimewaan, mereka perlu ikut proses yang sama daripada sesi temuduga dan sebagainya. Tetapi mereka perlu diberikan merit yang lebih sikit daripada orang lain, atas dasar mereka dah berkorban untuk negeri,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-3 Persatuan Tarik Tali Perak di sini, malam tadi.
Khairul Shahril berkata mana-mana jawatan sektor awam yang akan diisi oleh para atlet, juga perlu bergantung kepada kelayakan akademik masing-masing.
Mengulas berkenaan sukan tarik tali, Khairul Shahril berkata ia berpotensi untuk diketengahkan kepada masyarakat umum, jika dipertandingkan di peringkat yang lebih baik seperti Sukan Malaysia (Sukma).
Tambahnya dengan pendekatan itu juga, ia akan memudahkan pihak persatuan untuk mencari bakat-bakat baharu khususnya golongan belia, bagi menyarung jersi negeri dan negara.
“Di Perak atau Malaysia sukan ini sedikit tenggelam dan terkebelakangan ini, kerana ia bukan sukan popular yang menyumbang kepada pingat dalam kejohanan-kejohanan utama. Ini antara faktor utama.
“Jadi, saya fikir Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu cari jalan untuk memperkasakan sukan ini, seperti mana cadangan yang kita berikan. Saya fikir Sukma amat membantu untuk kita ketengahkan sukan ini kepada rakyat,” katanya.
-- BERNAMA