Kerajaan negeri Kelantan tidak berminat ambil alih KAFA - Mohd Amar

Muhafandi Muhamad
Disember 15, 2016 05:17 MYT
MOHD AMAR: Banyak lagi perkara lain perlu diberi perhatian di Kelantan.
Kerajaan Negeri Kelantan tidak berminat untuk mengambil alih pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan menyerahkan urusan bola sepak Kelantan kepada pihak berkaitan sukan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut memaklumkan beliau juga tidak berminat untuk menjadi Presiden persatuan berkenaan.
“Tak ada (perancangan untuk ambil alih). Kita serah kepada ahli bola (pihak yang berpengetahuan, berkepakaran, berkepentingan). Kerajaan negeri tak akan terlibat. Kita biarkan ahli bola dan biar orang terlibat dalam bola sepak memikir dan merancang.
“Saya tidak berminat untuk duduk di situ (pengurusan KAFA). Saya dah lama tinggalkan bola sepak ini, banyak 'benda' saya missed (terlepas),” ujar beliau.
Mohd Amar ditemui pemberita bagi mendapatkan reaksi kedudukan KAFA yang kini dikatakan berdepan masalah kewangan serius dan ketiadaan peneraju baharu selepas bekas penyandangnya, Tan Sri Annuar Musa meninggalkan KAFA.
Pengurusan KAFA juga akan mengadakan mesyuarat khas malam ini bagi menentukan kedudukan sama ada pasukan Kelantan atau The Red Warriors mempunyai penaja atau dana untuk meneruskan saingan musim 2017.
KAFA dijangka mengumumkan keputusan mereka malam nanti berhubung nasib The Red Warriors.
Menurut Mohd Amar lagi, kerajaan negeri tidak mahu mencampuri urusan bola sepak Kelantan kerana banyak perkara lain perlu diberi perhatian.
#KAFA #Kelantan #Kerjaaan negeri #Mohd Amar Nik Abdullah #The Red Warriors