Kerajaan komited bantu atlet raih emas pertama Olimpik pada 2020 - MOM

Bernama
November 2, 2018 21:08 MYT
Pihak swasta harus menyambut baik keikhlasan kerajaan dengan memberi sokongan kewangan kepada persatuan sukan kebangsaan demi merealisasikan impian di Sukan Olimpik 2020.
Kerajaan Pakatan Harapan begitu komited untuk membantu atlet negara merealisasikan emas pertama Olimpik Malaysia pada temasya 2020 di Tokyo menerusi cadangan peruntukan RM100 juta dalam Belanjawan 2019 hari ini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pengumuman kerajaan itu menyuntik semangat atlet dan memberi inspirasi kepada rakyat untuk melihat negara membawa pulang kilauan emas dari Tokyo.
Selain itu, pihak swasta harus menyambut baik keikhlasan kerajaan ini dengan memberi sokongan kewangan kepada persatuan sukan kebangsaan demi merealisasikan impian di Sukan Olimpik 2020, katanya kepada Bernama di sini.
Beliau mengulas peruntukan tersebut yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh menyifatkan peruntukan itu mampu memperkasa program elit atlet berbasikal trek negara dalam memburu pingat emas sulung pada Sukan Olimpik.
"Pengumuman ini jelas memberi kelegaan kepada kita mengenai bajet yang akan digunakan untuk memperkasakan program elit skuad berbasikal trek negara yang berpangkalan di Melbourne, Australia pada tahun depan dan 2020," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata peruntukan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu atlet negara membuat persiapan rapi dalam menghadapi beberapa temasya sukan penting di tahun-tahun akan datang.
"Insya-Allah, peruntukan itu merangkumi program latihan ke arah melangkaui tahun 2020 yang akan melibatkan persediaan atlet negara ke Sukan Asia dan Para Asia 2022 (di China) serta Sukan Komanwel 2022 (di England)," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini.
Beliau berkata peruntukan itu akan juga akan melibatkan atlet normal dan paralimpik dalam Program Podium, program senior dan pelapis kebangsaan.
Pada masa yang sama, Shapawi turut yakin peruntukan RM10 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dapat membantu penggiat sukan elektronik atau e-sukan seperti jurutera perisian komputer dan penerbit permainan selain membantu Kementerian Belia dan Sukan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab e-sukan di peringkat rantau Asia Tenggara.
"Peruntukan kepada MDEC akan membantu industri e-sukan yang secara tidak langsung akan memperhebatkan lagi aktiviti-aktiviti e-sukan yang lebih seragam dan tersusun," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Shapawi Ismail #Amarjit Singh #atlet #atlet berbasikal #Bajet 2019 #Belanjawan 2019 #Dewan Rakyat #e-sukan #Lim Guan Eng #MDEC #Mohamad Norza Zakaria #peruntukan #pingat emas #RM10 juta #RM100 juta #semangat #Sukan Olimpik
;