Kerajaan Johor tekad jadikan Sukma 2020 edisi terbaik

Bernama
Februari 15, 2020 19:42 MYT
Sahruddin (dua dari kiri) pada majlis pelancaran cenderamata rasmi Sukma Johor 2020 di sini pada Sabtu. - Foto: Facebook SUKMA XX JOHOR 2020
Kerajaan Johor bertekad menjadikan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 Julai ini sebagai edisi Sukma terbaik dari segenap aspek, kata Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Sejajar dengan hasrat itu, pihaknya akan menyediakan kemudahan di venue dengan mengadaptasi konsep kemajuan teknologi dan pembangunan digital yang dijangka siap sepenuhnya pada April ini.
"Bagi menghadapi temasya sukan dwitahunan ini, kerajaan negeri telah bersedia terutamanya dari segi persiapan venue pertandingan.
"Hampir semua kemudahan dan infra yang disediakan akan mengadaptasi konsep kemajuan teknologi dan pembangunan digital sejajar dengan Alaf Baharu 2020," katanya berucap pada majlis pelancaran cenderamata rasmi Sukma Johor 2020 di sini pada Sabtu.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sdn Bhd Vach Pillutla.
Sahruddin berkata temasya dwitahunan itu akan berlangsung di 39 venue sukan di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi dengan 31 jenis sukan akan dipertandingkan serta mempertaruhkan 434 pingat.
-- BERNAMA
#Johor #Menteri Besar #pembangunan digital #sahruddin jamal #sukan #SUKMA 2020 #teknologi terkini #venue pertandingan
;