Keputusan sukar yang dibuat Liverpool terima kritikan

Astro Awani
April 5, 2020 14:29 MYT
Pemilik Liverpool, John Henry (kiri) bersama isterinya, Linda di Anfield. - Foto Instagram @linda_pizzuti
KEPUTUSAN Liverpool meletakkan kakitangan bukan pemain di bawah skim pengekalan pekerjaan di UK menerima kritikan keras bekas pemain, Jamie Carragher dan Stan Collymore.
Menerusi Twitter, Carragher menyatakan segala usaha mulia yang ditunjukkan pengurus pasukan itu, Jurgen Klopp bersama pemain-pemain sejak pandemik ini bermula disia-siakan kelab itu dengan keputusan tersebut.
Mereka mempersoalkan kenapa Liverpool perlu menggunakan wang pembayar cukai untuk membayar gaji semua staf mereka, sedangkan kelab itu lebih daripada mampu untuk melakukannya disebalik krisis pandemik Covid-19 yang menyebabkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tertangguh.
Pada Februari, Liverpool mengumumkan keuntungan selepas cukai sebanyak £42 juta (RM300 juta) dan perolehan sebanyak £533 juta (RM2.85 bilion), selain membayar sebanyak £43 juta (RM299 juta) kepada ejen bola sepak.
Nilai kekayaan pemilik kelab itu, John Henry pula dianggarkan sekitar £2.12 bilion (RM11.3 bilion).

Jurgen Klopp showed compassion for all at the start of this pandemic, senior players heavily involved in @premierleague players taking wage cuts. Then all that respect & goodwill is lost, poor this @LFC https://t.co/9bE8Rw1veE

— Jamie Carragher (@Carra23) April 4, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Liverpool juga mengesahkan pemain dan jurulatih tetap akan menerima gaji penuh yang akan terus dibiayai oleh kelab.
Newcastle dan Tottenham menjadi kelab EPL terawal meletakkan kakitangan mereka dibawah skim pengekalan pekerjaan.
Skim kerajaan UK itu adalah menjamin 80 peratus gaji bagi kakitangan sehingga maksimum £2,500 (RM15,000) sebulan, manakala baki 20% gaji akan dibiayai majikan.
Pada masa sama, Premier League mencadangkan setiap kelab berbincang dengan pemain bagi pemotongan gaji sebanyak 30 peratus namun belum ada kata putus oleh wakil kelab masing-masing.
Cadangan Premier League itu dikritik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional England (PFA) kerana menganggap ia akan memberi kesan kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
Bagi PFA, kerajaan UK akan kehilangan lebih daripada £200 juta wang cukai yang diperoleh daripada gaji pemain EPL, sekali gus mengurangkan pendapatan kerajaan dan dana buat NHS.
PFA bersama pemain-pemain EPL akan memainkan peranan mereka untuk memberi sumbangan dari segi kewangan pada waktu sukar ini, yang diketuai ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson.
PFA juga percaya Premier League boleh memberi lebih daripada £20 juta kepada NHS seperti yang diumumkan dan mengalu-alukan wang pendahuluan sebanyak £125 juta kepada Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) untuk membantu pengaliran wang tunai kelab-kelab yang lebih kecil.
#COVID 19 #EPL #jamie carragher #john henry #Jordan Henderson #jurgen klopp #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #NHS #Premier League #Stan Collymore
;