Keputusan potong mata ke atas empat pasukan Liga-M tepat - Khairy
Bernama
Mei 5, 2017 17:17 MYT
Mei 5, 2017 17:17 MYT
Keputusan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) mengenakan pemotongan enam mata ke atas empat pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang gagal melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan Liga-M setelah tamat tempoh, adalah satu tindakan tepat.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata walaupun keputusan tersebut dilihat agak radikal, beliau berpandangan ia antara usaha terbaik dalam memastikan pengurusan kelab dan negeri mematuhi peraturan yang ditetapkan FMLLP.
"(Pemotongan mata) mungkin satu idea yang radikal, tetapi kita beri sokongan kepada keputusan tersebut terlebih dahulu sebab ini perkara paling ditakuti oleh kelab dan negeri," katanya.
Khairy berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis penyerahan penajaan oleh syarikat minyak negara, Petronas selaku penaja platinum untuk Sukan Kuala Lumpur 2017 (Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berharap isu berkenaan dapat diselesaikan melalui proses dalaman tanpa perlu melalui tindakan perundangan yang dilihat hanya merugikan pihak terlibat.
Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam menerusi satu sidang media baru-baru ini mengumumkan empat pasukan Liga-M iaitu dua pasukan Liga Super - Kelantan dan T-Team - serta dua pasukan Liga Perdana - Angkatan Tentera Malaysia dan Perlis - dipotong enam mata berkuat kuasa serta merta.
Keputusan itu terpaksa diambil setelah keempat-empat pasukan berkenaan gagal melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan Liga-M yang berakhir pada Disember 2016.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yang tidak berpuas hati dengan hukuman itu dilaporkan tidak teragak-agak untuk menggunakan saluran undang-undang bagi memastikan pemain import baharu dari Gambia, Sanna Nyasi dapat didaftarkan untuk beraksi dengan skuad ''The Red Warriors''.
-- BERNAMA