Keputusan diraih penting buat United - Solskjaer
Astro Arena
Disember 29, 2019 10:45 MYT
Disember 29, 2019 10:45 MYT
PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, memuji kemampuan anak buahnya mendapatkan keputusan yang diinginkan selepas The Red Devils terselamat daripada deretan peluang yang diraih Burnley di penghujung perlawanan sebelum menang 2-0, awal pagi tadi.
Seminit sebelum rehat, Anthony Martial menyumbat gol ketiganya dalam dua perlawanan untuk membolehkan United mendahului dalam perlawanan yang didominasi anak buah Solskjaer tetapi tuan rumah, Burnley, memberi tekanan kepada gawang yang dikawal David De Gea dalam tempoh 15 minit terakhir di Turf Moor.
United mengesahkan kemenangan selepas Daniel James melakukan gerakan untuk Marcus Rashford menyumbat gol ke-12 liga musim ini sekali gus membolehkan United naik ke tangga kelima liga, satu mata di belakang pasukan tempat keempat, Chelsea.
Solskjaer mengakui anak buahnya patut mengesahkan tiga mata lebih awal tetapi memuji prestasi pemain susulan dua kemenangan berturut-turut yang diraih sambil mendakwa dirinya sangat gembira.
"Dalam babak pertama, saya fikir kami bermain dengan sangat baik," katanya.
"Kami mengawal permainan, hasilkan jaringan hebat. Sudah tentu kawasan kotak penalti akan menjadi sasaran dalam babak kedua kerana lawan mahu dapatkan gol dan menghantar ramai pemain melakukan asakan.
"Kami boleh menamatkan perlawanan lebih awal terutama apabila melakukan serangan balas. Kami patut jaringkan gol kedua lebih awal tetapi terdapat beberapa elemen bertahan yang bagus.
"Penting untuk kami tahu bahawa kami boleh dapatkan keputusan yang bagus walaupun apabila menjaringkan satu gol, anda tidak selalunya menang. Jika kami mampu elak dibolosi, kami berpeluang untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga."
United bakal bertandang ke Emirates untuk menentang Arsenal ketika perayaan Hari Tahun Baru dan Solskjaer menggesa pemainnya mengekalkan momentum yang telah membantu The Red Devils hanya tewas sekali dalam sembilan perlawanan terakhir, sewaktu dikalahkan Watford 2-0, minggu lalu.
Tatkala Martial dan Rashford kini mencapai prestasi terbaik, United diharapkan mampu melakar keputusan diinginkan sambil Arsenal kini sedang menyesuaikan di bawah kendalian ketua jurulatih baru, Mikel Arteta.
Solskjaer juga berpendapat barisan penggempurnya harus kurang mensia-siakan peluang seperti ketika berdepan Burnley, apabila berkata: "Anda sentiasa menendang diri sendiri apabila tidak menggunakan kesempatan terhidang. Terdapat banyak peluang menerusi serangan balas, ketika keputusan salah dibuat atau terlalu lambat membuat keputusan tetapi ia tetap persembahan yang baik.
"Lihat nanti apa kami lakukan menentang Arsenal. Kami mahu meneruskan momentum. Dua kemenangan diraih selepas aksi mengecewakan berdepan Watford. Sememangnya ia menggembirakan. Satu reaksi yang baik dan pemain jelas sedang belajar."