Kepincangan kelas welterweight UFC berterusan, kini Wonderboy pula mahu cabar Usman

Hilmi Ismail
Februari 25, 2021 22:21 MYT
Ini meletakkan Thompson (kanan) sebagai satu-satunya petarung yang menduduki ranking lima terbaik dalam kelas tersebut yang masih belum diberi peluang mencabar Usman. - Foto Instagram
SELAIN kelas ringan di UFC, kelas welter juga dipenuhi oleh petarung seni bela diri campuran (MMA) bertaraf dunia dan berstatus bintang.
Berada di takhta kelas tersebut, Kamaru 'The Nigerian Nightmare' Usman nampak begitu selesa kerana telah berjaya mempertahankan kejuaraannya sebanyak tiga kali sejak berjaya merampas kejuaraan dari Tyron Woodley pada March 2019.
Selain Usman, nama-nama besar yang menduduki lima tangga teratas kelas welter adalah Colby Covington, Gilbert Burns, Leon Edwards, Jorge Masvidal dan Stephen 'Wonderboy' Thompson.
Kepincangan dalam kelas welter bermula apabila ramai petarung terbaik kelas tersebut dilihat seolah-olah tidak mahu terus bertarung selain daripada pertarungan merebut kejuaraan.
Sebelum ini Usman telah pun menewaskan Burns, Masvidal dan Covington dalam pertarungan merebut kejuaraan dan kesemua pertarungan tersebut diadakan dalam tempoh 13 bulan.
Manakala pertarungan Usman dan Edwards pula berlangsung pada Disember 2015 dan Usman dipilih sebagai pemenang menerusi keputusan sebulat suara juri.
Ini meletakkan Thompson sebagai satu-satunya petarung yang menduduki ranking lima terbaik dalam kelas tersebut yang masih belum diberi peluang mencabar Usman.
"Bertarung dengan petarung yang belum anda lawan," tegas Thompson dalam satu wawancara bersama MMA Fighting.
"Anda telah menewaskan hampir kesemua petarung, kecuali saya. Dan saya berada di ranking lima teratas," tambahnya.
Selain dari melobi diri sendiri untuk mencabar kejuaraan yang dipegang Usman, Thompson juga nyata tidak bersetuju dengan cadangan pertarungan semula antara Usman dan Masvidal.
"Pertama, pertarungan terakhir dia (Masvidal) adalah anda (Usman). Jadi tidak masuk untuk melakukan pertarungan itu sekali lagi".
Pertarungan Usman dan Masvidal diadakan dalam notis yang singkat namun bagi Thompson itu bukanlah alasan untuk UFC mengadakan pertarungan tersebut sekali lagi.
"Bagi seorang peminat dan petarung MMA yang berada di puncak persaingan dan masih berusaha untuk mendapatkan peluang mencabar kejuaraan, (pertarungan Usman dan Masvidal) memang tidak masuk akal".
Sebagai rekod, Thompson telah bertarung untuk UFC selama sembilan tahun dan telah menjadi antara pencabar utama kelas welter untuk tempoh yang lama.
Thompson yang kini berusia 38 tahun, pernah diberi peluang untuk mencabar kejuaraan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2016 dan 2017.
Juara kelas welter pada ketika itu adalah Tyron Woodley dan dua pertarungan tersebut berakhir dengan keputusan seri dan keputusan sebulat suara juri yang memihak kepada Woodley.
#UFC #welter #welterweight #seni bela diri campuran #MMA #Kamaru Usman #Wonderboy #Stephen Thompson #Jorge Masvidal #Tyron Woodley
;