Keperluan, kemahuan atlet projek RTG selesai dikumpul tidak lama lagi

Bernama
April 12, 2023 21:26 MYT
Stuart berkata pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan jurulatih atlet masing-masing untuk memastikan segala permintaan mereka selaras dengan apa yang diperlukan dari sudut kejurulatihan. - Gambar fail/ Bernama
PETALING JAYA: Keperluan dan kemahuan keseluruhan 15 atlet projek Road To Gold (RTG) dijangka selesai dikumpulkan pada pertengahan bulan depan.
Penyelaras projek Stuart Ramalingam berkata hampir separuh daripada mereka yang telah ditemui sudah menyatakan hasrat dan keinginan masing-masing dalam memaksimumkan potensi dimiliki ke arah pencapaian prestasi tertinggi selaras dengan konsep peningkatan marginal.
Katanya permintaan rata-rata atlet tersebut adalah berasaskan prestasi seperti lebih banyak pendedahan kejohanan, sistem sokongan sains sukan serta pemakanan, dengan kesemua maklumat yang dikumpulkan akan di bawa ke Jawatankuasa RTG bagi tujuan penilaian dan kelulusan.
"Sejak tempoh hari, kita sudah berjumpa dengan hampir separuh atlet dan beberapa atlet masih di luar negara. Mengenai perjumpaan saya, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Lee Zii Jia (pemain badminton profesional lelaki) ia adalah antara permulaan proses pengumpulan keperluan semasa atlet.
"Ia akan dibawa untuk pertimbangan dalam Jawatankuasa RTG, maklumat yang diterima amat bagus, kebanyakan atlet amat positif dengan adanya projek RTG dan keperluan serta sistem sokongan tambahan yang akan diberi...mungkin pada pertengahan Mei (pengumpulan) keperluan atlet selesai," katanya.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa MFL di sebuah hotel di sini, semalam.
Pada masa sama, Stuart berkata pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan jurulatih atlet masing-masing untuk memastikan segala permintaan mereka selaras dengan apa yang diperlukan dari sudut kejurulatihan.
"Mungkin daripada senarai (atlet) daripada 10, kita boleh melakukan lima dan mengambilnya secara berperingkat...buat masa ini saya percaya bahawa kita sedang menuju ke arah yang betul. Saya sangat positif dengan perbualan kerana semua atlet melihat perkara ini dari segi objektif terhadap Sukan Olimpik dan bukannya sesuatu yang peribadi," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan atlet yang tersenarai dalam projek RTG supaya tidak berasa selesa memandangkan mereka yang menunjukkan penurunan prestasi berdepan risiko disingkirkan.
Katanya semakan berkala setiap dua atau tiga bulan yang bakal dilakukan nanti bertujuan untuk memastikan atlet yang berada dalam projek RTG sentiasa memberikan komitmen tertinggi dengan atlet yang berada di luar projek berpeluang dimasukkan jika menunjukkan peningkatan prestasi.
"Atlet perlu komited kepada projek RTG bukan sahaja semata-mata kerana apa yang diperlukan mereka tetapi juga apa yang diperlukan projek ini dan negara iaitu atlet memberikan komitmen tertinggi kepada perjalanan ke arah mendapatkan pingat emas Olimpik," katanya.
Projek RTG diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bulan lalu dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik meliputi edisi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
-- BERNAMA
#stuart ramalingam #Kementerian Belia dan Sukan #badminton #Road to Gold
;