Kento Momota dan tiga lain telah keluar hospital

Bernama
Januari 14, 2020 06:06 MYT
Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali antara yang turut melawat Momota di hospital pada Isnin. --fotoBERNAMA/Fail
Pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota dan tiga lagi yang cedera dalam kemalangan awal pagi di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di Serdang, dipercayai telah keluar daripada Hospital Putrajaya, malam tadi.
Media yang telah mengikuti pergerakan kumpulan itu selepas tersebar berita mengenai Momota yang akan pulang ke Jepun pada awal Rabu, melihat dua buah kenderaan konvoi tiba di sebuah hotel dekat sini.
Seorang lelaki yang dengan pembalut luka, dilihat keluar daripada salah sebuah daripada dua kenderaan MPV tersebut.
Mereka dipercayai ditemani beberapa pegawai rasmi badminton daripada Jepun dan Malaysia.
BACA: Kento Momota patah tulang hidung, cedera tetapi stabil
VIDEO: Kento Momota dan tiga yang lain dalam keadaan stabil
Pada kejadian 4.40 pagi Isnin, van yang dalam membawa Momota dan tiga lagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori, menyebabkan pemandu van B. Nageswarau, 24, maut di tempat kejadian manakala Momota, pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35; pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42; dan William Thomas, 30, seorang operator sistem Hawkeye, mengalami kecederaan.
Momota menjuarai kejohanan Masters Malaysia dengan menumpaskan bekas juara dunia dari Denmark Viktor Axelsen di peringkat akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil pada Ahad.
-- BERNAMA
#badminton #cedera #Hospital #hospital putrajaya #Jepun #kemalangan #kenderaan konvoi #Kento Momota #KLIA #Lebuhraya MEX #Lori #Masters Malaysia #pemain badminton #pembalut luka #perlanggaran #van
;