Kenderaan Koeman diserang penyokong selepas tewas kepada Real
Astro Arena
Oktober 25, 2021 08:12 MYT
Oktober 25, 2021 08:12 MYT
BARCELONA mengecam tindakan penyokong yang mengerumuni kereta ketua jurulatih, Ronald Koeman, ketika dia meninggalkan Camp Nou berikutan kekalahan 2-1 kepada Real Madrid dalam Clasico pertama musim ini.
Jaringan daripada David Alaba dan Lucas Vazquez membenarkan Real mendahului sebelum jaringan Sergio Aguero dalam masa kecederaan tidak mencukupi buat Barca yang meratapi kekalahan El Clasico yang keempat berturut-turut -- tiga daripadanya di bawah kendalian Koeman.
Ketika Barca di tangga kesembilan LaLiga dan ketiga dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), tekanan mula menggunung buat Koeman selepas penyokong mula tidak senang tidak persembahan kurang cemerlang daripada pasukan mereka.
Kekalahan tersebut mencetus insiden kurang senang apabila penyokong kelab itu mengerumuni kereta Koeman ketika dia meninggalkan stadium.
Barca mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan itu dan berikrar untuk meningkatkan keselamatan bagi mengelakkan perkara tersebut berulang.
"FC Barcelona secara terbuka mengecam tindakan ganas dan penghinaan yang dialami pengurus kami ketika meninggalkan Camp Nou," kata kenyataan itu.
"Kelab akan mengambil langkah keselamatan dan tatatertib supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi."
Barcelona berkunjung ke Rayo Vallecano Rabu ini dan berharap untuk kembali bangkit melakar kemenangan.