Kenapa beli FC Bari 1908? 5 fakta yang anda perlu tahu

Astro Awani
April 13, 2016 15:49 MYT
Walaupun pernah bertanding dalam liga perdana Serie A sejak kelab ini ditubuhkan, prestasi kelab ini yang tidak konsisten mendorong ia diturunkan ke liga lebih rendah Serie B.
Seorang tokoh perniagaan Malaysia, Datuk Dr Noordin Ahmad dilaporkan mungkin menjadi pemilik baru kelab Serie B, FC Bari 1908.
Menurut Bernama, beliau dikatakan akan mengambil alih kepentingan 50 peratus kelab Itali itu dengan harga Euro 12 juta (RM53.159 juta).
Berita itu disiarkan beberapa akhbar Itali semalam, yang melaporkan presiden kelab itu yang juga bekas pengadil, Gianluca Paparesta dipetik sebagai berkata beliau sudah mencapai persetujuan bersama anggota lembaga pengarah kelab itu.
FC Bari ditubuhkan pada 1908 dan dilaporkan sebagai kelab bola sepak paling berjaya di rantau Apulia berdasarkan statistik rekod Serie A.
Spekulasi mengenai kemungkinan pengambilalihan kelab itu tersebar selepas Jalur Gemilang (bendera Malaysia) dilihat berkibar di bahagian tempat duduk penonton semasa perlawanan FC Bari di laman sendiri berdepan Cesena di stadium kelab itu pada 4 April. -Instagram/FC Bari
Mengapa Dr Noordin memilih FC Bari menjadi tanda tanya, namun berikut adalah beberapa fakta tentang kelab itu yang mungkin mendorong ahli perniagaan itu untuk menjadi pemilik baharu.
1) Serie A
Walaupun pernah bertanding dalam liga perdana Serie A sejak kelab ini ditubuhkan, prestasi kelab ini yang tidak konsisten mendorong ia diturunkan ke liga lebih rendah Serie B.
Kali terakhir pasukan itu beraksi dalam Serie A adalah pada tahun 2011. FC Bari memain dalam perlawanan Seria A ke-1000 mereka pada 4 Mac 2011.
2) Pencapaian terbaik
Pencapaian terbaik FC Bari adalah pada 1947 apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam Serie A, iaitu liga bola sepak terulung di Itali.
FC Bari memenangi Mitropa Cup pada 1990.
Pada musim 1996, Igor Protti dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dalam Serie A dengan 24 jaringan.
3) Pemain kebangsaan Itali
Beberapa pemain bola sepak terkenal Itali pernah beraksi bersama pasukan FC Bari.
Antaranya Nicola Ventola, Gianluca Zambrotta, Antonio Cassano, Diego De Ascentis, Leonardo Bonucci and Andrea Ranocchia.
4) Lelongan muflis
Lelongan muflis pernah diadakan pada 18 April 2014 dan 12 Mei 2014 namun tidak berjaya mendapat pembeli.
Paparesta dipercayai membeli kelab berkenaan dengan harga Euro 2 juta (RM8.850 juta) pada 20 Mei, 2014 semasa acara lelongan muflis ketiga kelab itu sebelum menukar nama pasukan berkenaan kepada FC Bari 1908 S.P.A.
5) Suntikan dan semangat baharu?
Perubahan terhadap pemilik kelab itu dijangkakan bakal meningkatkan semangat kelab berpangkalan di Apulia itu untuk menampilkan prestasi lebih baik dalam Serie B.
Ketika ini, pasukan itu menduduki tempat ketiga dengan kutipan 57 mata selepas mengharungi 35 perlawanan.
#FC Bari #Noordin Ahmad
;