Kenali jurulatih baharu JDT, Benjamin Mora
Astro Arena
Januari 19, 2017 12:06 MYT
Januari 19, 2017 12:06 MYT
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) pada malam tadi mengumumkan pelantikan Benjamin Mora sebagai jurulatih baru pasukan itu bagi menggantikan Mario Gomez.
Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards, berkata jurulatih kelahiran Mexico berkenaan yang sebelum ini membimbing JDT II adalah individu yang layak mengambil alih tugasan tersebut.
"Pelan jangka panjang JDT sentiasa mementingkan untuk mendidik, membangunkan dan memberi peluang kepada mereka yang berkhidmat dalam keluarga JDT.
"JDT II bukan sahaja memberi tumpuan untuk membangunkan bakat pemain muda tetapi juga untuk para jurulatih.
"Mora telah membuktikan keupayaan beliau, dengan bajet yang rendah berupaya untuk membantu JDT II bermain mengikut falsafah JDT," katanya dalam laman Facebook JOHOR Southern Tigers.
Jelas Edwards lagi, Mora juga telah dihantar berlatih di Atletico Madrid selama sebulan ketika di luar musim sebagai sebahagian daripada pembangunan profesional dirinya untuk persediaan mengambil tugasan ini.
"Visi dan falsafah kelab adalah amat penting di dalam apa saja yang kita lakukan di JDT. Keputusan untuk Gomez dan kelab membawa haluan masing-masing dilakukan demi visi dan falsafah yang mendorong kelab untuk menuju ke hadapan," katanya.
Mora, 51, memiliki pengalaman luas melatih beberapa kelab di Mexico seperti Cafetaleros, Guerreros, Gallos Blancos dan Atlante.
Dia seterusnya dibawa untuk membimbing JDT II pada Disember 2015 dan telah dihantar untuk mendapat bimbingan kejurulatihan di Atletico Madrid selama sebulan pada November tahun lalu.
Mora memulakan tugasnya dalam sesi latihan pasukan hari ini manakala JDT II akan dipimpin Hamzani Omar.
Terdahulu, Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, mengesahkan status Gomez untuk tidak bersama JDT pada musim ini.
Keputusan itu dibuat selepas JDT dikecewakan dalam dua perlawanan persahabatan di Thailand, tewas 0-1 di tangan Buriram United FC (14 Jan), dan tewas 0-1 kepada Air Force Central FC (11 Jan), sehari sebelum seri 1-1 dengan Chonburi FC.
Dalam aksi pra-musim terdahulu, JDT menewaskan kelab Singapura, Geylang International FC, 5-0 pada 5 Januari.
Jurulatih berusia 59 tahun dari Argentina, Gomez, mula membimbing Harimau Selatan sejak 2015 selepas berhijrah dari kelab China, South China.
JDT akan memulakan kempen Liga Malaysia pada musim ini dengan menentang Kedah dalam perlawanan Piala Sumbangsih, Jumaat ini.