Kemuka deklarasi dokumen tidak tepat, KL City dikenakan hukuman berat

Bernama
Ogos 5, 2024 11:16 MYT
KL City FC didenda pemotongan sebanyak enam mata dan RM50,000 selain dikenakan larangan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024/2025 bagi kesalahan berdasarkan permohonan lesen kebangsaan.
KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Super, Kuala Lumpur (KL) City FC hari ini dikenakan hukuman berat susulan mengemukakan deklarasi tunggakan yang tidak tepat dalam proses permohonan lesen kebangsaan dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini.
Juara Piala Malaysia 2021 dan naib juara Piala AFC 2022 itu didenda pemotongan sebanyak enam mata dan RM50,000 selain dikenakan larangan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024/2025 bagi kesalahan berdasarkan permohonan lesen kebangsaan.
Sementara bagi kesalahan berdasarkan permohonan lesen AFC pula, KL City tidak dibenarkan untuk memohon lesen tersebut selama dua kitaran pelesenan kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bermula musim 2024/2025, denda RM50,000 dan lesen AFC yang diluluskan untuk kitaran 2023/2024 bagi musim 2024/2025 dibatalkan.
"Berdasarkan insiden sedemikian, perlu dinyatakan bahawa kelab bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penyerahan dokumentasi serta integriti keseluruhan dokumentasi yang diserahkan kepada FIB (First Instance Body)," menurut FIB dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan selepas FIB melakukan proses siasatan secara menyeluruh bermula dengan semakan menerusi sistem AFC CLAS bagi mengesahkan segala deklarasi tunggakan yang menyatakan tiada sebarang tunggakan sehingga 30 Jun 2023 untuk lesen kebangsaan dan 31 Disember 2023 (Lesen AFC), dengan lampiran surat sokongan daripada agensi kerajaan, sebelum penilaian bagi keputusan pemberian lesen.
Selain itu, FIB yang merupakan badan bebas dilantik MFL turut melakukan proses audit dan pertemuan dengan pengurusan tertinggi KL City serta Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada hujung bulan lepas.
Hasil semakan FIB mendapati dokumen yang diserahkan KL City berhubung caruman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengandungi maklumat tidak tepat.
Menurut badan bebas itu, ia berdasarkan pengesahan daripada agensi-agensi kerajaan terbabit iaitu pihak mereka juga tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang diserahkan oleh KL City kepada FIB sebelum ini.
"Maklumat ini jelas bercanggah dengan dokumentasi yang telah diserahkan kepada FIB sebelum tarikh akhir penyerahan dokumen kriteria kewangan pada 31 Ogos 2023 untuk lesen kebangsaan dan 31 Mac 2024 untuk lesen AFC,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, FIB memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah MFL juga boleh mengambil tindakan susulan ke atas KL City ekoran kesalahan tersebut sekiranya perlu.
Justeru, FIB berharap insiden itu menjadi iktibar kepada semua kelab Liga Super supaya tidak mengambil mudah hal berkaitan maklumat deklarasi yang diserahkan kepada FIB kerana maklumat itu boleh disemak kembali, selain FIB boleh menarik semula lesen kebangsaan atau lesen AFC sekiranya didapati bersalah.
KL City kini berada di tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 11 mata selepas enam aksi.
-- BERNAMA
#KL City FC #deklarasi tidak tepat #tindakan tegas #MFL