Kempen 'Demi Rimba Kita': Pemanas badan Liga Malaysia seiring lindungi alam sekitar
Astro Awani
Mac 7, 2024 21:16 MYT
Mac 7, 2024 21:16 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 35 peserta melibatkan hos dan pakar bola sepak Astro serta rakan media menyertai kempen Demi Rimba Kita yang diadakan di Taman Tugu Negara pada Khamis.
Selain bagi memupuk amalan menjaga kelestarian alam sekitar, kempen hasil kerjasama Astro Arena dan Astro Kasih itu juga sebagai pemanas badan untuk saingan Liga Malaysia 2024.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, pelbagai aktiviti dijalankan seiring memastikan Taman Tugu Negara sentiasa diselenggara dengan baik.
“Taman Tugu Negara adalah antara lokasi inisiatif yang mana sebanyak 27 batang pokok ditanam hari ini... dengan keseluruhan 600 batang pokok telah ditanam di sekitar kawasan ini. Ini adalah permulaan dalam usaha kami untuk mendidik orang ramai.
“Ia semua bagi memberi kesedaran dan memupuk minat orang ramai untuk meneroka alam sekitar dengan melakukan aktiviti yang menyeronokkan seperti yang kami lakukan pada pagi ini.
“Pada masa sama, mengambil langkah untuk mengubah tindakan terhadap perubahan iklim,” katanya.
Sebagai rakan penyiar rasmi Liga Malaysia, Astro komited meningkatkan lagi kandungan yang lebih segar dan kualiti produksi terbaik untuk peminat-peminat bola sepak tempatan.
Pada 2023, Astro mencatat hampir sembilan juta tontonan siaran langsung Liga Malaysia yang komprehensif termasuk kualiti siaran yang lebih baik dalam definisi tinggi.
Di platform digital menerusi Astro Go, jumlah tontonan adalah sebanyak 106 juta minit sementara rating tontonan di aplikasi penstriman Sooka pula dengan 96 juta minit.