Kempen Copa America Neymar berakhir
Astro Arena
Jun 20, 2015 12:00 MYT
Jun 20, 2015 12:00 MYT
Neymar terpaksa melupakan baki kempen Copa America, sekali gus menjejaskan peluang Brazil untuk bergelar juara.
Kapten Brazil itu dikenakan pergantungan empat perlawanan berikutan kad merah yang diterimanya semasa aksi bertemu Colombia.
Bintang Barcelona itu dibuang selepas wisel penamat susulan perbalahan di atas padang, apabila dia bertindak menyepak bola ke arah pemain lawan, Pablo Armero dan kemudiannya dilihat cuba menanduk Jeison Murillo.
Neymar pada mulanya dikenakan pergantungan satu perlawanan, namun kemudiannya ditambah kepada empat.
Ini bermakna Neymar akan terlepas perlawanan terakhir Kumpulan C bertemu Venezuela dan tiga peringkat kalah mati, andai pasukan bimbingan Dunga mara jauh.
Neymar turut didenda USD10,000 (RM37,393).
Penyerang Colombia, Carlos Bacca yang menolak Neymar semasa pertelagahan itu turut dilayangkan kad mereka, dengan pergantungan dua perlawanan dan denda USD5,000 (RM18,696).
Brazil tewas 1-0 dalam perlawanan itu namun berpeluang untuk lolos daripada Kumpulan C, dengan menjuarai kumpulan jika berjaya menundukkan Venezuela.