Kementerian akan bantu percepat projek litar Labuan - Khairy
Bernama
Julai 30, 2017 10:49 MYT
Julai 30, 2017 10:49 MYT
Kementerian Belia dan Sukan akan membantu mempercepatkan pelaksanaan projek litar sukan permotoran antarabangsa Labuan yang bernilai RM7 juta, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata projek itu telah menerima 'lampu hijau' daripada kementeriannya untuk diteruskan.
"Saya diberitahu peruntukan RM3 juta untuk fasa pertama telah diluluskan pelaksanaannya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan bakinya daripada kementerian berkaitan.
"...memandangkan ia perlu melalui kementerian saya, saya kini memberi lampu hijau untuk projek itu diteruskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan secara serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Labuan, di sini Sabtu.
Projek dua fasa yang dicadangkan di atas tapak seluas dua hektar di Kiansam sejak lima tahun lalu itu dijadualkan bermula tahun ini dan dijangka siap tahun depan.
Mengulas lanjut, Khairy berkata litar itu akan membantu pulau ini menjadi 'padang permainan golongan kaya' dari negeri tetangga untuk menyertai sukan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Labuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan yakin Labuan akan menjadi tumpuan penggemar sukan permotoran apabila litar tersebut siap kelak.
Mohd Rafi yang juga Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata fasa dua melibatkan peruntukan RM4 juta bagi pembinaan trek untuk pit perlumbaan, go-kart, grand prix mini, motosikal berkuasa tinggi, 'pocket bike' dan 'supermoto'.
"Litar ini terletak secara strategik dan dekat dengan hab halal Labuan. Beberapa projek lain turut dirancang di kawasan berhampiran termasuk untuk sukan ekstrem 'motocross'.
"Sehubungan itu kami akan mencadangkan agar kawasan Kiansam diwartakan sebagai hab sukan permotoran tidak lama lagi," katanya.
-- BERNAMA