Kemenangan selesa suntik semangat Tok Gajah

Bernama
Mei 26, 2018 12:25 MYT
Pemain Pahang Amamche Augustine Iwuji diasak pemain Kuala Lumpur pada saingan Liga Super 2018 di Stadium Darul Makmur malam tadi. - BERNAMA
Kemenangan selesa 4-0 Pahang ke atas Kuala Lumpur pada saingan Liga Super semalam, akan meningkatkan motivasi dan tahap keyakinan pasukan terutama buat dua pemain import baharu pasukan itu.
Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata beliau gembira dengan persembahan Issey Farran Morgan Nakajima dan Amamchi Augustine Iwuji kerana berjaya menjaringkan gol meskipun sudah diturunkan dalam dua perlawanan terdahulu.
"Persembahan dua pemain import baharu berbeza iaitu kesungguhan ketika latihan dan aksi sebenar yang dilihat tidak seberapa... tetapi kini mereka telah membuktikan keupayaan sebenar kepada rakan sepasukan," katanya pada sidang media di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi selepas perlawanan itu.
Meskipun mencatatkan kemenangan, Dollah mengakui beliau masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan persembahan yang ditunjukkan pasukan Tok Gajah dan berharap dapat ditingkatkan pada perlawanan seterusnya.
Beliau juga mengakui agak lega dengan perkembangan terbaharu itu setelah kehilangan tonggak utama, Patrick Dos Santos Cruz yang terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan pada perlawanan malam tadi.
"Saya jangka Patrik Cruz tidak dapat diturunkan dalam tempoh dua atau tiga minggu dan mungkin dia kembali pulih selepas cuti hari raya Aidilfitri," katanya.
Sementara itu, Amamchi berterima kasih kepada Dollah dan rakan sepasukan yang tidak jemu memberi sokongan untuknya bermain cemerlang.
"Jurulatih sering memberi kata perangsang kepada saya untuk menghasilkan gol sebelum perlawanan bermula dan kini saya bersyukur dapat melaksanakan tugas diberikan.
"Keadaan di Pahang amat hebat dan saya mudah menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan yang mesra. Penyokong juga sentiasa memberikan sokongan yang membuatkan saya mahu beraksi lebih cemerlang," katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Joaquim Maciel Da Silva berkata anak buahnya tewas kepada Pahang kerana melakukan beberapa kesilapan yang menyebabkan mereka dihukum dengan keputusan itu.
"Pada separuh masa pertama, kita bermain dengan agak baik apabila mencipta beberapa peluang untuk menghasilkan gol.
"Namun kita mensia-siakan peluang itu dan membuat kesilapan sehingga membenarkan Pahang memperoleh empat gol...sesuatu perlu dilakukan untuk mengubah situasi ini kerana kami bermain amat baik di tempat sendiri," katanya. -- Bernama
#Amamchi Augustine Iwuji #bola sepak #Dollah Salleh #Fabio Joaquim Maciel Da Silva #Issey Farran Morgan Nakajima #Kuala Lumpur #Liga Super #Pahang #Patrick Dos Santos Cruz #Tok Gajah
;