Kemenangan Moto3 Khairul Idham: Mat Rempit ada kelas!
Astro Arena
April 4, 2016 22:27 MYT
April 4, 2016 22:27 MYT
NUKILAN ini saya kongsikan selepas menyaksikan kehebatan pelumba berusia 17 tahun, Khairul Idham Pawi menjadi anak Malaysia pertama menjuarai saingan MotoGP apabila dinobat juara Moto3 Grand Prix Argentina:
Ternganga!
Hampir semua pengunjung larut malam kedai mamak di kawasan Subang Jaya ini tidak mampu berkata-kata dan hanya menatap skrin besar yang disediakan dengan penuh debaran, apakah benar sejarah akan tercipta pada awal pagi 4 April waktu Malaysia.
Tidak pernah saya melihat tumpuan seperti ini diberikan terhadap sukan lain, malah perlawanan bola sepak antarabangsa yang sedang berlangsung juga tidak lagi menarik. Fokus saya kembali tertumpu kepada perlumbaan Moto3 apabila komentator baru sahaja mengumumkan kedudukan satu-dua mungkin menjadi milik penunggang negara.
Tidak dinafikan, tunggangan menyakinkan dipamer Khairul Idham yang sedia mengambil risiko dengan situasi tayar yang boleh membahayakannya apabila permukaan litar mempunyai kombinasi kering dan basah. Ia ternyata berbaloi, apabila Khairul Idham jauh meninggalkan pencabar lain ketika melintasi garisan penamat.
"Cayalah SuperKIP" laung seorang pemuda, sebelum rakan disebelahnya menyambung, "Macam ni, barulah mat rempit ada kelas".
Saya tersenyum, dalam hati saya mengiyakan kata-kata kumpulan terbabit, yang jelasnya mat rempit enggan lagi dicop sebagai golongan bermasalah. Perasaan terharu segera membelenggu diri kerana momen seperti ini sukar untuk kita saksikan selaku sebuah negara kecil di mata dunia.
Namun hati ini lebih tersentuh apabila kamera rasmi turut memberikan fokus kepada seorang lagi pelumba negara, Adam Noruddin yang bangun menolak motosikalnya untuk ke garisan penamat selepas sedikit kesukaran mengawal tayar diselekoh terakhir meranapkan impiannya di podium.
"Sayangnya... Kalau tak no.2 pun kita punya" keluh pakcik yang duduk di sebelah meja, tambahnya "tapi bagus budak ni, tahan lasak. Buat tak tahu je dia bangun tolak motor"
Benar, Adam juga wira kita!
Rentetan kejayaan ini, buat kali pertama lagu Negara Ku berkumandang di kejohanan ini. Kalau berada di sana, pasti lebih meremang bulu roma walaupun khabarnya, jenuh juga penganjur mencari di internet.
Selain kecekalan, sikap profesional pelumba negara membuatkan saya lebih menghormati mereka.
Sensitiviti selaku umat islam tetap dijaga Khairul Idham ketika meraikan kejayaan di podium tanpa mengaibkan dua pemenang lain. Walaupun kali pertama menang, anak jati Teluk Intan, Perak ini tenang menjawab soalan wartawan dalam bahasa Inggeris yang ringkas dan tepat.
Kenangan manis di perlumbaan kedua musim 2016 pastinya akan selalu diingati. Memang benar masih terlalu awal untuk memuji, tetapi apa salahnya jika ia sesuatu yang memang layak untuk diberikan. Cuma satu pesanan, jangan mudah alpa dengan tawaran dan penajaan sana sini. Tidak kurang juga tumpuan melampau yang mampu jadi racun jika berlebihan.
Selamat berjaya di Amerika Syarikat selepas ini. - Oleh Suzana Basri