Kemenangan ke atas Malaysia hadiah akhir tahun buat peminat - Park
Bernama
Disember 28, 2022 12:34 MYT
Disember 28, 2022 12:34 MYT
HANOI: Ketua jurulatih Vietnam Park Hang Seo berkata kemenangan pasukannya 3-0 ke atas Malaysia pada Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di sini malam tadi, merupakan hadiah akhir tahun buat semua peminat Golden Star Warriors.
Menurut jurulatih dari Korea Selatan itu, kemenangan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh adalah kejayaan manis yang wajar diraikan.
Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kedatangan tahun baharu dan di penghujung 2022, adalah sesuatu yang manis apabila kami dapat mengalahkan Malaysia 3-0.
"Sebelum permainan saya memberitahu pemain, pasukan perlu memenangi perlawanan ini sebagai hadiah untuk peminat. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pemain kerana merealisasikan hasrat saya," kata Park, 65, pada sidang media selepas perlawanan di sini.
Tiga gol Vietnam dijaringkan oleh Nguyen Tien Linh pada minit ke-29, Que Ngoc Hai menerusi sepakan penalti (minit ke-64) dan Nguyen Hoang Duc pada minit ke-83.
Perlawanan itu juga dicemari banyak kesalahan dilakukan pemain kedua-dua pasukan, menyaksikan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato terpaksa melayangkan dua kad merah kepada Nguyen Van Toan dan Muhammad Azam Azmi Murad, selain penalti buat pasukan tuan rumah.
Kemenangan ke atas Malaysia itu bukan sahaja mengekalkan rekod tanpa kalah mereka menentang skuad Harimau Malaya dalam semua pertandingan sejak 2014, tetapi juga meletakkan Vietnam di tangga teratas Kumpulan B berkongsi enam mata dengan Malaysia (kedua) dan Singapura (ketiga) tetapi dengan perbezaan gol yang lebih besar.
Tiga mata lagi sekiranya diperoleh menentang Singapura di tempat lawan di Stadium Jalan Besar, Jumaat ini akan membantu Vietnam layak ke separuh akhir selaku juara kumpulan tetapi Park tetap berhati-hati mengenai perlawanan itu.
"Terdapat empat perlawanan dalam peringkat kumpulan. Kami baru main dua perlawanan. Moto saya bergerak kukuh ke hadapan pada setiap perlawanan. Saya tidak boleh mengatakan apa-apa mengenai perlawanan seterusnya. Saya hanya tahu pasukan perlu memaksimumkan sumber untuk meraih hasil yang baik," kata Park.
Malaysia dijadual bertemu Singapura dalam aksi 'hidup mati' di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Januari.
-- BERNAMA