Kemenangan di Sukma suntik semangat Adib buru emas kejohanan dunia

Bernama
September 24, 2022 15:20 MYT
Muhammad Khairi Adib pasang impian menghadiahkan emas buat negara setelah hanya mampu menyumbang perak di kejohanan itu, Julai lepas. - Bernama
NILAI: Selepas mengungguli acara pencak silat Kelas B 50-55 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 hari ini, atlet muda negara Muhammad Khairi Adib Azhar Abdullah beralih misi bagi memburu emas di Kejohanan Pencak Silat Dunia di Indonesia tahun hadapan.
Atlet berusia 20 tahun yang meraih emas di Sukan SEA Hanoi itu memasang impian menghadiahkan emas buat negara setelah hanya mampu menyumbang perak di kejohanan itu, Julai lepas.
Beliau berkata, kemenangan hari ini menjadi pembakar semangat buatnya untuk menggondol lebih banyak pingat pada masa akan datang.
"Dan saya turut pasang impian untuk dapatkan emas hatrik di Sukan SEA Kemboja tahun depan," katanya kepada Bernama selepas perlawanan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.
Atlet yang menjadikan bapanya sebagai idola itu berkata meskipun pernah menjuarai Sukan SEA, beliau tidak mengambil mudah persaingan di Sukma.
SUKMA-PENCAK SILAT (MUHAMMAD KHAIR ADIB) 2 (AKHIR) NILAI
Mengulas mengenai perlawanan hari ini, beliau yang mewakili kontijen Wilayah Persekutuan mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah, namun berbaloi dengan usaha yang dilakukannya sebelum ini.
"Saya memang bersusah payah nak turunkan berat badan, sebab saya dalam kategori kelas ringan, tapi masa latihan saya memang berusaha sebelum ini.
"Perlawanan hari ini juga rasa semangat daripada pusingan sebelum ini, saya memang buat habis-habisanlah, saya fokus dan ingat apa yang jurulatih ajar," katanya.
Terdahulu, Muhammad Khairi Adib menampilkan aksi bertenaga untuk menumpaskan lawannya dari Pulau Pinang, Mohamad Ridzuan Abdullah 49-6 untuk muncul juara.
Gangsa menjadi milik Muhammad Rafi'uddin Razali dari Johor dan Muhammad Afifi Nazri yang mewakili Terengganu.
Sementara itu, pencak silat menyaksikan Terengganu menguasai keseluruhan sukan itu dengan kutipan 13 pingat iaitu lima emas, empat perak dan empat gangsa diikuti Kedah (5 emas, 2 perak, 4 gangsa) dan Wilayah Persekutuan di kedudukan ketiga (3 emas, 4 perak, 6 gangsa).
-- BERNAMA
#Muhammad Khairi Adib Azhar Abdullah #pencak silat #kejohanan dunia #SUKMA
;