Kemenangan bukan penentu karier pemain muda - Critchley
Astro Arena
Februari 5, 2020 10:45 MYT
Februari 5, 2020 10:45 MYT
LIVERPOOL 1 SHREWSBURY TOWN 0
Neil Critchley percaya kemenangan 1-0 ke atas Shrewsbury Town dalam Piala FA awal pagi tadi tidak boleh dijadikan penentu kepada karier kebanyakan pemain mudanya di Anfield.
Gol sendiri Ro-Shaun Williams pada 15 minit terakhir memastikan Liverpool mara ke pusingan kelima Piala FA walaupun pengurus, Jurgen Klopp -- yang menyerahkan tanggungjawabnya kepada jurulatih akademi, Critchley -- enggan membenarkan pemain utamanya diturunkan dalam perlawanan itu.
Barisan pemain muda berkenaan membuktikan mereka layak memenangi perlawanan itu dan akan berdepan Chelsea awal bulan depan -- perlawanan yang pasti akan diambil alih kembali oleh Klopp.
Tetapi Critchley, yang turut mengendalikan pasukan itu ketika tewas 0-5 kepada Aston Villa dalam Piala EFL sewaktu pasukan utama berada di Qatar bagi saingan Piala Dunia Kelab, menegaskan kemenangan itu tidak dapat menentukan potensi sebenar barisan mudanya itu.
"Sejak dari wisel permulaan, kematangan yang ditunjukkan pemain muda ini amat luar biasa. Mereka membuatkan saya tenang di tepi padang. Kami berhak memenangi perlawanan malam ini," katanya dalam sidang media.
"Kami tidak mahu ia menjadi detik penentu buat karier mereka.
"Kami mahu ia menjadi cita rasa yang akan membangkitkan nafsu umereka.
"Mereka mahukannya lagi. Ia memberikan mereka kepercayaan dan keyakinan mengenai apa yang mereka lakukan setiap hari, yang orang lain tidak nampak sehingga ke malam seperti ini.
"Bos ada menghubungi saya tengah hari tadi untuk memberikan kata-kata semangat.
"Saya belum memeriksa telefon saya tetapi dia ada menghubungi dan kami memberikannya perlawanan menentang Chelsea.
"Itulah mesej yang kami berikan kepada pemain, bermain dengan baik malam ini dan mereka berpeluang untuk beraksi di tempat Chelsea yang hebat.
"Kami bermain seperti pasukan Liverpool dan saya amat berbangga.
"Mereka melangkah ke depan. Saya berbangga dengan cara kami menghadapi perlawanan fizikal seperti ini.
"Kami melakukannya dengan sangat baik. Jauh lebih baik daripada perlawanan dengan Aston Villa.
"Jurgen memberikan kami kesedaran dan keyakinan. Bermain dengan cara Liverpool!
"Inilah kami, inilah apa yang kami lakukan, apa yang kami percaya dan anda lebih baik bersedia untuknya.
"Sejak dari minit pertama, saya fikir kami telah melakukannya," katanya.