Kemenangan berganda lonjak semangat pasukan Petronas Yamaha SRT
Bernama
Julai 27, 2020 14:13 MYT
Julai 27, 2020 14:13 MYT
Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali adalah individu paling gembira apabila pelumba pasukannya Fabio Quartararo meraih kemenangan berganda di Litar Jerez, Sepanyol pada Ahad.
Kejayaan dilakar pada Grand Prix (GP) Andalusia di litar yang sama berlangsungnya GP Sepanyol minggu lepas, pastinya menjadi pembakar semangat untuk perlumbaan seterusnya di GP Republik Czech yang berlangsung di Litar Brno, minggu depan.
"Ia satu kemenangan yang hebat buat Fabio di MotoGP! Kemenangan berturut-turut ini menjadikannya berada di tangga teratas kejuaraan. Namun, nasib tidak baik buat Franky (Franco Morbidelli) kerana saya menjangkakan boleh meraih kemenangan satu-dua buat pasukan kami.
"Kami bersimpati (dengan Morbidelli) kerana beliau berada dalam keadaan baik sepanjang minggu ini dan berhak mendapat keputusan yang baik. Bagaimanapun, ia tetap hujung minggu yang menakjubkan dengan kemenangan berturut-turut dan mengungguli kejuaraan. Kita perlu lakukannya lagi di Brno," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Quartararo atau diberi gelaran 'El Diablo' meraih kejuaraan keduanya musim ini selepas GP Sepanyol minggu lepas, dengan mencatat 41 minit 22.666 saat, diikuti dua pelumba pasukan Monster Energy Yamaha Maverick Vinales dari Sepanyol di tempat kedua dan pelumba sensasi Valentino Rossi di tempat ketiga dalam perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan panas terik dengan suhu 38 darjah Celcius.
Morbidelli yang bermula dari petak kesembilan bagaimanapun, gagal menamatkan perlumbaan ketika berbaki sembilan pusingan berikutan masalah jentera yang dialaminya.
Kejayaan di GP Andalusia ini menyaksikan Quartararo mengungguli kejuaraan MotoGP dengan mengumpul 50 mata, diikuti Vinales (40 mata) manakala pelumba Itali Andrea Dovizioso mewakili Ducati Team di kedudukan ketiga dengan 26 mata, selepas dua perlumbaan. Morbidelli pula di kedudukan ke-10 dengan 11 mata.
-- BERNAMA
#andalusia
#fabio quartararo
#Grand Prix
#Litar Jerez
#Petronas Yamaha
#Razlan Razali
#Sepang Racing Team
#sepanyol
#SRT