Kemelut PSM temui sinar, Muthu kekal terajui POS
Astro Arena
November 7, 2021 09:59 MYT
November 7, 2021 09:59 MYT
PESURUHJAYA Sukan (PJS) berpendapat isu membabitkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang sebelum ini bertelagah dengan kumpulan yang terdiri daripada wakil persatuan negeri dikenali sebagai G-11 semakin jernih.
Ini berikutan kebanyakan persatuan negeri sudah kembali semula bersama dengan badan induk itu dan sedang menanti tarikh untuk mengadakan mesyuarat agung (AGM) bagi memilih exco baru.
Tinggal lagi PJS masih menimbang permohonan Selangor, Putrajaya, Sarawak dan Perlis yang tetap mahu menubuhkan persatuan baru yang akan dinamakan sebagai Persekutuan Sepak Takraw tetapi ia memerlukan penelitian rapi.
"Terserah kepada persatuan sendiri untuk menetapkan tarikh AGM, tidak perlu rujuk PJS tetapi ia tidak dibenarkan melangkui tempoh yang ditetapkan dalam perlembagaan," kata PJS, Ibrahim Yusof, dalam Hari Bertemu Pelanggan PJS di Bukit Jalil, semalam.
Dalam masa sama, Ibrahim juga menganggap penyingkiran Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS) merangkap Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu, dari badan negeri itu menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM), 24 Oktober lalu sebagai tidak sah.
PJS menjelaskan terdapat beberapa perkara yang melanggar perlembagaan dalam proses penyingkiran jadi dalam erti kata lain, Muthu masih lagi sah sebagai presiden POS dan layak bertanding untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan exco yang dijadualkan esok sebelum ia ditunda.
"Kami merumuskan surat panggilan itu (EGM) tidak ditandatangani oleh pihak yang terbabit, jadi prosesnya dianggap tidak teratur berdasarkan perlembagaan," katanya lagi.