Kematian Zhi Jie boleh dielak jika bantuan kecemasan tepat pada masanya - Dr Guru
Bernama
Julai 12, 2024 20:08 MYT
Julai 12, 2024 20:08 MYT
KUALA LUMPUR: Masyarakat umum dan dunia badminton tergamam melihat insiden pemain China Zhang Zhi Jie rebah di gelanggang dan meninggal dunia akibat serangan jantung pada Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, pada 30 Jun lalu.
Kematian tragis pemain berusia 17 tahun itu mencetuskan persoalan dalam kalangan pegawai, pemain serta peminat sukan itu di seluruh dunia berhubung tempoh masa diambil memberikan bantuan kecemasan oleh pasukan perubatan bertugas pada kejohanan itu.
Memandangkan perlawanan membabitkan Zhi Jie disiarkan secara langsung di televisyen dan rakaman video insiden itu dikongsi secara meluas dalam platform media sosial, soal dakwaan kelewatan turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan semua pihak.
Mereka kini menuntut penjelasan mengenai dasar dan prosedur bantuan kecemasan semasa kejohanan.
Persatuan Badminton China (CBA) menerusi satu kenyataan pada 1 Julai lalu berkata badan induk itu sangat berdukacita di atas kehilangan pemain berbakat seperti Zhi Jie, seorang pemain terbaik dalam squad remaja kebangsaan.
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memaklumkan akan mengkaji semula secara menyeluruh dasar dan prosedur berhubung bantuan kecemasan.
Berikutan itu, agensi berita China Xinhua melaporkan bahawa kakak mendiang menuntut penjelasan atas pemergian adiknya di platform media sosial China Weibo pada Rabu lalu.
Insiden malang itu berlaku ketika pertemuan antara China menentang Jepun dalam aksi Kumpulan D dengan Zhi Jie sedang berdepan Kazuma Kawano, rebah dalam keadaan tertiarap.
Pasukan perubatan kejohanan kemudiannya memberikan bantuan kecemasan sebelum pemain itu dikejarkan ke hospital.
Jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Broto Happy mempertahankan tindakan pasukan perubatan dan penganjur selepas rakaman video menunjukkan mereka teragak-agak untuk memberikan bantuan kecemasan sejurus pemain itu rebah di dalam gelanggang.
Katanya, pasukan perubatan perlu menunggu kebenaran daripada pengadil sebelum boleh memasuki gelanggang.
Dalam pada itu Pengerusi Suruhanjaya Perubatan BWF Datuk Dr Gurcharan Singh, yang lebih dikenali sebagai Dr Guru, adalah salah seorang yang berpendirian tegas bahawa kematian Zhi Jie adalah sia-sia.
Menurutnya pemain remaja nombor lapan dunia itu mungkin boleh diselamatkan jika dia mendapat bantuan tepat pada masanya.
"Saya beberapa kali melihat klip video Zhi Jie rebah dalam gelanggang. Saya merasakan terdapat kesilapan yang serius dalam pendekatan profesional dalam memberikan rawatan perubatan kecemasan kepada pemain. Terdapat pelbagai perkara yang tidak betul.
"Dalam situasi jantung terhenti secara tiba-tiba, pegawai perubatan perlu menilai dan melakukan CPR (resusitasi kardio-pulmonari) dalam masa dua minit pemain itu rebah. Ia termasuk penggunaan peranti defibrillator luaran automatik (AED) untuk menstabilkan keadaan sebelum bergegas ke hospital berhampiran.
"Semasa kecemasan perubatan seperti serangan jantung secara tiba-tiba, pasukan peribatan perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan nyawa tanpa perlu menunggu kebenaran pengadil untuk masuk ke dalam gelanggang dan merawat pemain," katanya.
Dr Guru berkata pegawai perubatan di gelanggang terlatih untuk menghadapi dan bertindak terhadap situasi sedemikian.
"Bagi setiap minit yang terbuang, peluang untuk hidup berkurangan sebanyak 10 peratus. Dalam perjalanan ke hospital jika tiada oksigen, CPR dan/atau AED diberikan, dia mungkin dalam keadaan vegetatif," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pada hakikatnya pegawai perubatan pada kejohanan itu lewat berintdak untuk mendiagnosis serangan jantung secara tiba-tiba dan kegagalan untuk memulakan CPR serta penggunaan AED, pada dasarnya menghilangkan sebarang peluang bagi pemain malang itu.
"CPR dan AED sepatutnya menjadi rawatan pertama sebelum mengeluarkan pemain dari gelanggang. Pasukan perubatan gagal dalam aspek itu," katanya.
Dr Guru menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Badminton Asia dan jawatankuasa penganjur kejohanan memastikan pegawai perubatan terlatih dilantik untuk mengendalikan situasi seperti itu semasa kejohanan antarabangsa.
Menurutnya pemain memerlukan masa untuk pemulihan kerana sentiasa berdepan dengan tahap permainan berintensiti tinggi, stres mental dan fizikal tinggi serta jadual pertandingan yang padat.
Insiden menyedihkan menimpa pemain muda China itu tidak mengejutkan Dr Guru kerana beliau telah memberi amaran kepada semua yang terlibat dalam badminton dunia bahawa serangan jantung mengejut akan berlaku semasa pertandingan dan perlu respons profesional untuk menyelamatkan seseorang pemain.
Beliau berkata tiada kejohanan boleh dimulakan tanpa syarat minium iaitu kelengkapan perubatan kecemasan seperti peralatan oksigen, peranti AED, pengusung papan tulang belakang dan kehadiran ambulans di lokasi kejohanan.
Dr Guru pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di semua kejohanan Piala Dunia FIFA sejak edisi Korea/Jepun 2002 dan acara bola sepak dan badminton di enam temasya Sukan Olimpik sejak edisi 2000 Sydney, 2004 Athens, 2008 Beijing, 2012 London, 2016 Rio dan 2020 Tokyo.
Beliau akan bertugas dalam acara badminton di temasya Olimpik Paris 2024.
-- BERNAMA