Kem silat negara tutup cabaran di Singapura dengan lima pingat perak
Bernama
Februari 27, 2022 05:30 MYT
Februari 27, 2022 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Nasib tidak menyebelahi lima pesilat negara selepas terpaksa akur membawa pulang pingat perak pada hari terakhir, Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 edisi kelapan di Singapura, pada Ahad.
Pada aksi yang berlangsung di Arena OCBC di republik itu, menyaksikan pesilat negara diketuai bekas juara dunia Mohd Al Jufferi Jamari, terpaksa berpuas hati gagal membutirkan pingat emas selepas kecundang di tangan lawan masing-masing daripada Vietnam.
Dalam kategori putra kelas C, Mohamad Hazim Amzad tewas kepada Vu Van Kien 19-33, sementara Mohd Fauzi Khalid dikalahkan Nguyen Tan Sang 12-36 dalam kategori putra kelas G, manakala kategori puteri kelas C menyaksikan Zulaikha Razaman terpaksa akur di tangan Le Thi Van Anh 13-25.
Mohd Al Jufferi pula yang dijadual membuat perhitungan menentang Vu Duc Hung dalam kategori putra kelas F, memutuskan untuk menarik diri berikutan kecederaan dialami selepas perlawanan separuh akhir berdepan Tito Hendra Septa Kurnia Wijaya dari Indonesia, pada Sabtu.
Sementara itu, seorang lagi pesilat Nor Farah Mazlan tewas di tangan wakil tuan rumah Nadhrah Sahrin 10-21, bagi kategori puteri kelas A.
Dalam pada itu, saingan pada Ahad turut menyaksikan empat wakil negara iaitu Mohammad Amiruddin Adzmi (putra kelas C), Billage Anak Nakang (terbuka putra 1), Luqman Laji (acara jurus tunggal Putra) dan Muhamad Robial Sobri (putra kelas J) masing-masing meraih pingat gangsa.
Pada Sabtu, dua pesilat negara Nur Syafiqah Hamzah dan Muhammad Khairi Adib Azhar berjaya merangkul pingat emas masing-masing dalam acara jurus tunggal Puteri dan kategori putra kelas B.
Manakala trio regu puteri yang diwakili Merrywati Manuil, Fatin Ardani Zamri dan Siti Nur Khairunnisa Hail menghadiahkan pingat perak.
Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 edisi kelapan berlangsung dari 25-27 Feb disertai lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Thailand, bertujuan sebagai medan persediaan atlet menghadapi kejohanan dan temasya sukan utama dunia tahun ini.
-- BERNAMA