Kem Bola Astro: 32 bakat muda terpilih jalani latihan bola sepak di London
Izza Izelan
Januari 15, 2015 19:47 MYT
Januari 15, 2015 19:47 MYT
Peluang untuk menjalani sesi latihan di luar negara tidak selalu hadir. Bagi 32 kanak-kanak lelaki dan perempuan, peluang ini pastinya sesuatu di luar jangkaan, dan bagaikan mimpi bagi mereka.
Astro Kasih dengan kerjasama 1Malaysia Cardiff City (1MCC), buat kali ketiga menganjurkan ‘Kem Bola Astro’ iaitu satu program latihan luar negara (Overseas Training Programme) bagi mencari dan mengasah bakat muda dalam sukan bola sepak.
Pengumuman 32 peserta yang berjaya menjalani latihan di London tersebut dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan pada Rabu.
Sebelum ini, sejumlah 1,600 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun seluruh negara (termasuk Sabah dan Sarawak) melalui sesi uji bakat bermula Ogos sehingga Oktober 2014, di enam lokasi terpilih, iaitu:
i) Kota Kinabalu
ii) Kuching
iii) Ipoh
iv) Kuantan
v) Seremban dan
vi) Subang Jaya
64 peserta kemudiannya terpilih untuk menjalani kem latihan intensif di Akademi Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur selama seminggu.
Daripada 64 peserta ini, hanya 32 peserta (iaitu 16 lelaki dan 16 perempuan) akan diterbangkan ke London untuk menjalani latihan bersama pasukan West Ham United selama 10 hari, selain melalui siri perlawanan persahabatan, program pertuakaran budaya di sekolah-sekolah di sana, serta menonton perlawanan Liga Perdana Barclays di Stadium Ground Boleyn, London pada Mac ini.
‘Kem Bola Astro’ merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Astro di bawah Astro Kasih.
Ketua Pegawai Operasi 1MCC, Cameron Ng berkata, pihaknya turut berbesar hati dapat bekerjasama dengan Astro Kasih dalam merealisasikan bakat generasi muda negara ini.
Bagi peserta-peserta kem ini, pelbagai teknik-teknik profesional telah dipelajari daripada jurulatih, Jordan Humphrey sepanjang satu minggu.
Salah seorang pelatih perempuan, Nur Imanina Aqilah Abdul Apit, (11 tahun), peluang yang diberikan merupakan sesuatu yang luar biasa buat dirinya.
Sudah bermain bola sepak sejak tiga tahun lalu, Imanina mengakui tidak ramai rakan-rakan perempuannya yang gemar bermain bola sepak. Malah, kebiasaannya dia bermain bola sepak bersama ayah dan abangnya, atau pun rakan-rakan lelaki.
Sebagai ibu bapa, Abdul Apit Jamangin (bapa) dan Noraziah Othman (ibu) terus member galakkan anak perempuan mereka bermain bola sepak walaupun masyarakat lazimnya mempunyai stigma tertentu.
Noraziah pada mulanya sedikit risau kerana anak perempuannya mungkin lebih mudah tercedera akibat bermain bola, namun setakat ini anaknya menunjukkan sikap positif. Tambahan lagi, ayahnya sendiri yang melatih dan menjaga keselamatannya.
Program seperti ‘Kem Bola Astro’ membuka peluang untuk generasi muda melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti positif, dan ini dilihat sebagai salah satu platform pendedahan bakat tempatan ke peringkat antarabangsa.