Keluarga Sidek disaran terajui BAM
Sinar Harian
Januari 13, 2024 15:10 MYT
Januari 13, 2024 15:10 MYT
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) seharusnya diterajui oleh individu yang sememangnya pakar seperti keluarga Sidek untuk mengembalikan semula kegemilangan sukan tersebut di negara ini.
Pemerhati sukan negara, Zakaria Rahim berkata, Presiden Nusa Mahsuri, Datuk Seri Jalani Sidek merupakan orang yang tepat untuk menjadi presiden BAM selain Datuk Misbun Sidek dilantik sebagai pengarah kejurulatihan badan induk badminton negara.
Menurutnya, tidak salah jika adik beradik atau keluarga mengendalikan organisasi nasional jika mereka sememangnya mempunyai rekod yang baik, memang ahlinya dan dihormati serta disegani dalam bidangnya bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
Ujar Zakaria, keluarga Sidek telah banyak kembalikan kegemilangan badminton negara setelah suram selama 10 tahun apabila Datuk Razif Sidek dan Jalani Sidek menang All England pada 1982 selepas 10 tahun kali terakhir pemain Malaysia memenanginya pada 1971.
"Keluarga Sidek juga telah membantu membawa pulang Piala Thomas pada 1992 apabila Datuk Rashid Sidek, Razif, Jalani dan Rahman Sidek bersama Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit & Soo Beng Kiang kalahkan Indonesia 3-2 di Kuala Lumpur.
"Misbun Sidek menjadi satu-satunya pemain Malaysia layak ke final Piala Dunia Badminton di Kuala Lumpur lawan Liem Swie King dan juga pemain Malaysia pertama mara ke final All England selepas 12 tahun Malaysia ketandusan pemain badminton.
"Darah badminton dalam badannya sungguh pekat. Tamat kariernya, dia menjadi sifu melahirkan bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei sehingga beliau menang All England sebanyak tiga kali dan ke final lima kali.
"Konsep latihannya membentuk pemain, hanya pemain yang benar-benar mahu jadi juara yang mampu ikuti," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Sabtu.
Beliau juga menyarankan agar Chong Wei dilantik sebagai Pengarah Akademi Malaysia.
Pada Ogos tahun lalu, Mohamad Norza mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada hujung tahun ini selepas memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya bagi memacu BAM.
Namun, beliau membuat pusingan U untuk terus kekal memegang tampuk kepimpinan BAM sehingga tamat penggal 2025 selepas menerima saranan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selain mendapat sokongan penuh kesemua Ahli Majlis BAM.
Isu prestasi badminton negara terus dibangkitkan peminat selepas kesemua wakil negara gagal meneruskan kemaraan dalam kejohanan Terbuka Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini.
Perjuangan Malaysia menerusi dua beregu lelaki negara berakhir di peringkat suku akhir menyaksikan ini kali kedua berturut-turut wakil negara gagal mara ke separuh akhir dalam aksi di laman sendiri itu.
Zakaria berkata, kepimpinan dalam BAM perlu berundur selain program Road To Gold seharusnya dirombak untuk menilai kembali keberkesanan program tersebut.
"Sebagaimana komen Peter Axelsen (pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia) dan beberapa pemain dunia lain semalam, masalah dengan pemain Malaysia sekarang ini hanyalah sistem latihan dan mental.
"Cukup lama dah mereka di dalam BAM tu. Berundur lah. Kami dah penat. Jangan duduk di belakang menteri dan gunakan nama menteri untuk buat pusingan U dari pengunduran.
"Program Road To Gold pun patut dirombak. 10 dari 15 atlet yang dibantu adalah dari BAM. Enam bulan lagi Olimpik, di bumi sendiri pun semua mereka tumbang," katanya. - Sinar Harian