Keluarga atlet lawan pedang Terengganu terima pampasan

Bernama
Mac 8, 2023 21:42 MYT
Menurut Wan Sukairi, semua atlet MSNT dilindungi insurans sebagai persediaan sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini terhadap mereka. - Foto BERNAMA
KUALA NERUS: Keluarga atlet lawan pedang Terengganu, Allahyarham Muhammad Amirul Zulkafli yang meninggal dunia akibat lemas pada 2020, menerima pampasan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) berjumlah RM50,000 hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pampasan adalah melalui skim perlindungan insurans kemalangan secara berkelompok yang dicarum untuk semua atlet dan pegawai di bawah jabatan itu.
"Walaupun kejadian tersebut berlaku di luar waktu latihan atau kejohanan, arwah tetap layak menerima insurans berkelompok kerana perlindungan yang kita ambil adalah bagi tempoh 24 jam," katanya selepas menyampaikan pampasan itu di kediaman keluarga Allahyarham Muhammad Amirul di Kampung Telaga Daing di sini hari ini.
Menurut Wan Sukairi, semua atlet MSNT dilindungi insurans sebagai persediaan sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini terhadap mereka.
Allahyarham Muhammad Amirul yang pernah mewakili Terengganu dalam acara lawan pedang pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, lemas ketika mandi bersama rakannya di Pantai Tanjung, Seberang Takir berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini pada 21 Ogos 2020.
Sementara itu, ibu arwah, Hasmaliza Omar, 40, berkata dia tidak menyangka insurans tersebut diluluskan kerana kejadian tersebut berlaku lebih dua tahun lepas dan berasa amat bersyukur kerana wang tersebut dapat digunakan untuk tujuan infak dan kerja kebajikan bagi pihak arwah.
"Saya memang tidak menaruh harapan terhadap insurans tersebut kerana arwah meninggal dunia bukan ketika menjalani latihan atau kejohanan.
"Dua minggu lepas seorang kakitangan MSNT ada hubungi untuk maklum bahawa insurans tersebut telah diluluskan. Kami suami isteri memang terkejut dan sebak kerana teringatkan arwah," katanya.
Selain insurans, keluarga tersebut turut menerima sumbangan khairat kematian berjumlah RM2,000.
-- BERNAMA
#terengganu #NGO #SUKMA #lawan pedang
;