Kelompok besar atlet berlepas ke Birmingham 2022 malam ini

Bernama
Julai 23, 2022 23:20 MYT
Kontinjen Malaysia melaungkan kata-kata semangat "Malaysia Boleh" di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini bagi menyertai temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022. - Foto BERNAMA
SEPANG: Kelompok terbesar kontinjen Malaysia berlepas ke London malam ini bagi menyertai temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Ia terdiri daripada lebih 60 atlet dan pegawai melibatkan sukan badminton, skuasy, olahraga, gimnastik artistik, judo, ping pong, powerlifting dan bola keranjang berkerusi roda.
Antara atlet yang terlibat ialah pemain badminton Ng Tze Yong, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah, Goh Jin Wei serta Rachel Arnold (skuasy), Jackie Wong Siew Cheer (baling tukul besi) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).
Mereka menaiki pesawat Malaysia Airlines MH0002, yang dijadualkan berlepas pada 11.30 malam ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Heathrow, London.
Kontinjen negara akan diwakili oleh 162 orang membabitkan 104 atlet, 44 pegawai dan 13 kakitangan, dengan sasaran membawa pulang enam pingat emas.
Sukan Komanwel 2022 dijadualkan bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini, dengan lebih kurang 6,500 atlet dari 72 negara dan Wilayah dijangka mengambil bahagian pada edisi kali ini.
-- BERNAMA
#kontinjen malaysia #Birmingham #Sukan Komanwel #London
;