Kelly buru kelompok 30 terbaik LPGA

Bernama
Februari 28, 2023 14:51 MYT
Kelly berkata, sasaran itu dibuat sebagai usaha memburu impiannya untuk menjadi wanita pertama negara menjuarai kejohanan antarabangsa tersebut. - Bernama
PETALING JAYA: Pemain golf wanita utama negara Kelly Tan menyasarkan untuk berada sekurang-kurangnya dalam kelompok 30 teratas pada Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) tahun ini.
Pemenang Terbuka Malaysia tiga kali itu berkata sasaran itu dibuat sebagai usaha memburu impiannya untuk menjadi wanita pertama negara menjuarai kejohanan antarabangsa tersebut.
"Ketika ini, saya berada di ranking ke-67 dalam LPGA Tour. Pada saya bertanding dalam LPGA Tour selama 10 tahun adalah satu pencapaian besar. Saya tahu ada sasaran utama untuk menjadi atlet Malaysia pertama memenangi LPGA.
"Saya perlu sentiasa set target itu, jadi saya sasarkan 30 terbaik tahun ini dan saya tahu apabila terus meletakkan diri dalam kedudukan itu, saya akan lebih selesa," katanya kepada pemberita selepas Program Up Close and Personal with Kelly Tan di Kelab Golf Negara Subang, di sini hari ini.
Pemain berusia 29 tahun itu turut menyasarkan untuk membawa cabaran negara pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Mengenai Program Up Close and Personal with Kelly Tan itu, Hannah berkata ia bagi memberi motivasi kepada golongan muda untuk aktif dalam sukan seterusnya menjadi atlet pelapis tanah air.
"Dengan program seperti ini, anak muda dapat diberi pendedahan secara terus daripada atlet profesional yang berkongsi pengalaman mereka.
"KBS akan anjurkan lebih banyak program klinik seperti ini untuk sukan-sukan lain bersama KBS dan atlet boleh meluangkan masa mereka dengan pemain junior," katanya.
-- BERNAMA
#golf #Kelly Tan #Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita #LPGA
;