Kelayakan Piala Dunia: Uruguay kejutkan Brazil

Sinar Harian
Oktober 18, 2023 13:02 MYT
Pemain Uruguay, Joaquin Piquerez (kanan) dan pemain Brazil David Neres semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Centenario di Montevideo, Uruguay. - Gambar/ AP
GOL daripada Darwin Nunez dan Nicolas de la Cruz memberikan Uruguay kemenangan 2-0 ke atas Brazil dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Centenario pada Rabu.
Kekalahan Brazil itu juga dibayangi tonggak utamanya, Neymar yang terpaksa dikeluarkan pada lewat separuh masa pertama selepas mengalami kecederaan lutut serius.
Nunez membuka jaringan pada minit ke-42 menerusi tandukan dan malam Brazil menjadi lebih teruk dua minit kemudian apabila Neymar terjatuh selepas cuba merebut bola daripada De la Cruz.
Neymar meninggalkan padang dengan pengusung selepas menerima rawatan selama beberapa minit.
Sumber Brazil FA berkata, penyerang itu mengalami kecederaan lutut kiri yang teruk dan dia akan menjalani ujian untuk menentukan sama ada terdapat kerosakan ligamen.
De la Cruz melebarkan kedudukan tuan rumah dan memastikan kemenangan dengan gol percubaan jarak dekat pada minit ke-77.
Kemenangan itu melonjakkan Uruguay ke tangga kedua dalam kedudukan Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dengan tujuh mata, berkongsi mata sama dengan Brazil dan Venezuela. - Sinar Harian
#kelayakan Piala Dunia #Brazil #Uruguay #keputusan perlawanan
;