Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Singkir pemain gagal tonjol komitmen tinggi, kata Irfan Bakti
Astro Arena
Jun 6, 2021 07:59 MYT
Jun 6, 2021 07:59 MYT
PEMAIN naturalisasi seharusnya mempamerkan kebolehan berganda daripada pemain tempatan tetapi pendekatan itu setakat ini belum mendatangkan hasil.
Kekalahan 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menceritakan jalan berliku yang bakal ditempuhi pasukan kebangsaan berikutan di kedudukan keempat Kumpulan G dengan baki dua perlawanan.
Justeru, bekas jurulatih Selangor dan Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mahu pemain negara khususnya naturalisasi supaya menggandakan kudrat di atas padang.
"Kalau (jurulatih negara, Tan) Cheng Hoe tetap mahu menurunkan Liridon (Krasniqi) dan (Guilherme) De Paula, mereka harus mengubah sikap.
"(Setakat) harap nak tunggu bola mana bola, kalau lawan Melaka (United), di Terengganu bolehlah," katanya yang kini membimbing kelab Liga Perdana, Kuching City.
Irfan Bakti mengingatkan kedua-dua pemain naturalisi itu agar segera menyedari permainan berketekalan tinggi di peringkat antarabangsa.
"Saya amat kecewa terutama (terhadap) De Paula.
"Dalam bola sepak moden, mana ada pemain yang jalan kaki lagi, Messi seorang sahaja.
"Larian tanpa bola amat penting, Messi kalau dapat bola dia akan jaringkan gol.
"Ini dia (De Paula) sudahlah tidak berlari, tidak pula bergerak mencari tempat jadi macam mana hendak menjaringkan gol."
Menurutnya lagi: "Dia sudah mendapat kad pengenalan dan pasport Malaysia, bukan dari Brazil lagi jadi tunjukkanlah semangat.
"Tak pergi ke Piala Dunia pun tidak mengapa tetapi sekurang-kurangnya masuklah ke Piala Asia secara merit."
#harimau Malaya
#pemain naturalisasi
#UAE
#bola sepak
#Piala Dunia
#Malaysia
#Piala Asia
#kebolehan berganda
#pemain tempatan
#Irfan Bakti Abu Salim
#Tan Cheng Hoe
#permainan berketekalan tinggi
#bekas jurulatih