Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Malaysia kalah 0-2 kepada Oman

Astro Arena
Mac 21, 2024 06:00 MYT
Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan kepada Oman 2-0 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos dalam saingan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia sebentar tadi. - Stadium Astro
MALAYSIA terpaksa akur dengan kekalahan kepada Oman 2-0 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos dalam saingan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia sebentar tadi.
Jaringan Issam Al-Sabhi dan Muhsen Al-Ghassani cukup untuk mengecewakan Harimau Malaya yang berkunjung ke Muscat dalam misi memburu mata berharga.
Dalam ketiadaan beberapa tonggak utama skuad kebangsaan Kim Pan-gon telah berusaha menggarap barisan terbaik dengan menggunakan formasi mirip aksi di pentas Piala Asia, tiga pertahanan tengah sementara bahagian sayap pasukan kekal menjadi milik Faisal Halim serta Arif Aiman Md Hanapi.
Tuan rumah turun dengan sasaran untuk memastikan permainan yang bersifat positif apabila menurunkan empat pemain yang memiliki kualiti sentuhan penyudah berbisa, antaranya, Issam Al Sabhi, Omer Al Malki, Muhsen Al Ghassani, Abdul Aziz Al Shamousi serta Salaah Al Yahyaei.
Selepas separuh masa pertama yang berakhir tanpa sebarang jaringan, Issam Al-Sabhi berjaya memastikan tuan rumah di hadapan pada minit ke-58.
Malaysia hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi Corbin Ong namun tandukkannya sekadar terkena palang gol.
Romel Morales turut berjaya mengatasi penjaga gol untuk mendapatkan jaringan namun ia dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.
Pertukaran pemain yang dilakukan sememangnya mengubah corak permainan yang menyaksikan Oman yang bertahan sementara Malaysia cuba mencari peluang mendapatkan gol penyamaan.
Bagaimanapun, segalanya seakan sudah tertutup apabila Oman mendapatkan jaringan kedua ketika perlawanan berbaki tiga minit waktu permainan menerusi Muhsen Al-Ghassani.
Tamat perlawanan 2-0 memihak tuan rumah, Malaysia masih lagi berpeluang untuk mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan berikutnya di Stadium Nasional Bukit Jalil 26 Mac ini bertemu lawan sama.
Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga ketiga selepas namun yang dipisahkan dengan perbezaan jaringan antara Oman dan Kyrgyzstan. - Stadium Astro
#Kelayakan Piala Dunia Piala Asia #Malaysia lawan Oman #Kim Pan-gon #Faisal Halim
;