Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Jordi Amat dilayang kad merah, Iraq benam Indonesia

Astro Arena
Jun 7, 2024 09:00 MYT
Aksi pemain Iraq Ayman Hussein dan pemain tuan rumah Jordi Amat dan Thom Haye ketika Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia antara Indonesia dan Iraq di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia, 6 Jun 2024. - REUTERS
INDONESIA tewas 0-2 kepada Iraq di laman sendiri dalam saingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Jakarta, Indonesia tumbang kepada Iraq di sebalik persembahan cemerlang dalam separuh masa pertama.
Kekalahan itu bermakna mereka perlu memastikan kemenangan atas Filipina bagi memastikan slot ke pusingan ketiga dalam genggaman.
Turun beraksi dengan penuh keyakinan, ditambah dengan kehadiran penyokong di laman sendiri, mereka berjaya mendominasi di awal permainan, sehingga berjaya menghasilkan peluang namun gagal disempurnakan Sandy Walsh.
Di sebalik aksi cemerlang ditampilkan Indonesia, Iraq berusaha untuk mendapatkan jaringan, ia hadir pada minit ke-17 namun tandukan Ibraheem Bayes dibatalkan pengadil.
Skrip berbeza dalam separuh masa kedua, Iraq dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Justin Hubner dan Aymen Hussein dengan penuh keyakinan melengkapkan jaringan.
Malang terus menimpa skuad Garuda apabila kapten pasukan dan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat, dilayangkan kad merah memaksa mereka untuk bermain dengan 10 pemain.
Ternyata kelebihan kini memihak pasukan lawan, Indonesia terpaksa akur dengan gol kedua Iraq menerusi Ali Jasim, menyaksikan mereka menamatkan perlawanan tanpa sebarang mata.
#Kelayakan Piala Dunia Piala Asia #Indonesia #Iraq
;