Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Cheng Hoe 'sakit kepala' pilih kesebelasan utama
Astro Arena
Mei 23, 2021 05:01 MYT
Mei 23, 2021 05:01 MYT
KETUA Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengakui berdepan masalah dalam memilih kesebelasan terbaik untuk diturunkan bagi mengharungi cabaran getir dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.
Cheng Hoe menjelaskan selain pemain sudah lama tidak mempunyai aksi kompetitif antarabangsa, faktor lain seperti tahap kecergasan dan momentum persembahan dimiliki setiap anak buahnya turut diberi perhatian dalam menentukan barisan terbaik.
Skuad negara mengadakan aksi pemanas badan menentang Kuwait malam tadi dan Bahrain pada 28 Mei ini.
“Kita masih mencari kesebelasan terbaik untuk perlawanan akan datang, namun sudah semestinya dengan beberapa kombinasi malam ini saya rasa sedikit sebanyak dapat gambaran mengenai kesebelasan utama menentang UAE nanti,” katanya dalam sidang media secara dalam talian semalam.
Selepas beberapa siri latihan dijalankan, Cheng Hoe dilihat gembira dengan komitmen diberikan para pemain dan seterusnya percaya ia sedikit sebanyak dapat memberi keyakinan kepada mereka untuk turun beraksi pada perlawanan akan datang.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kesemua 25 pemain dalam skuad akan diberi peluang untuk beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain bagi mendapatkan rentak permainan dan membantunya merencana kombinasi terbaik bagi menghadapi cabaran sebenar dalam saingan kelayakan.
Bekas jurulatih Kedah itu juga yakin muka baharu yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan seperti Liridon Krasniqi (Newcastle Jets), Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk), serta dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Guilherme De Paula dan Arif Aiman Mohd Hanapi mampu mencapai keserasian bersama muka lama dan berharap reaksi positif dapat dicapai pada dua aksi pemanas badan itu sebelum kempen kelayakan menentang UAE pada 3 Jun.
Mengulas mengenai pertembungan dengan Kuwait, beliau menuntut pemain untuk menggunakan kelebihan dari segi kepantasan selain teknik dan kemahiran yang ada dalam usaha memerangkap pasukan dari Asia Barat itu.
“Kita tahu pasukan dari Asia Barat mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan diharap pemain dapat memberi cabaran kepada skuad lawan selain mengingatkan mereka agar tidak terlalu ghairah ketika beraksi dalam dua perlawanan persahabatan bagi mengelakkan sebarang kecederaan,” tambahnya.
Selepas menentang UAE, Malaysia akan menghadapi baki perlawanan kelayakan Kumpulan G dengan berdepan Vietnam pada 11 Jun dan Thailand pada 15 Jun.
#sakit kepala
#kesebelasan utama
#Tan Cheng Hoe
#brendan gan
#kelayakan
#Piala Dunia
#Piala Asia
#Emiriah Arab Bersatu
#UAE
#Nor Azam Azih
#perlawanan persahabatan
#skuad kebangsaan
#bola sepak