Kelayakan Piala Dunia: Penyokong baling suar ke padang, perlawanan dihentikan
Astro Awani
September 8, 2015 23:48 MYT
September 8, 2015 23:48 MYT
Harapan peminat menyaksikan Malaysia menebus maruah selepas tewas 0-10 kepada pasukan Emiriyah Arab Bersatu pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 dicemari insiden yang tidak diingini malam ini.
Ia selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam antara Malaysia dan Arab Saudi dihentikan oleh pengadil perlawanan, Liu Kwok Man dari Hong Kong pada minit ke-88 berikutan tindakan penyokong yang membaling suar ke dalam padang.
Keadaan penyokong di bahagian semakin tidak terkawal selepas tembakan mercun dilepaskan dan hampir mengenai pemain Malaysia yang ketika itu sedang berkumpul berdekatan bangku simpanan.
Pengadil kemudiannya mengarahkan semua pemain masuk ke bilik persalinan.
Jurucakap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kemudian mengumumkan aksi itu dihentikan selama 30 minit, dan keputusan selanjutnya akan diputuskan oleh urusetia perlawanan sama ada meneruskan perlawanan atau sebaliknya.
Ketika insiden itu, Arab Saudi sedang mendahului Malaysia 2-1.
FOTO AFP
Malaysia mendahului pada minit ke-70 hasil jaringan pemain tengah negara Safiq Rahim.
Dua minit kemudian, Taiseer Al-Jassam menyamakan kedudukan sebelum gol kedua Arab Saudi dijaringkan oleh Mohammed Al-Sahlawi pada minit ke-76.
Keputusan malam ini kekal sehingga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perlawanan berkenaan.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang turut berada di Stadium Shah Alam menzahirkan pandangannya terhadap insiden tersebut melalui akaun Twitter rasminya.
Menurutnya, perbuatan membaling suar adalah salah namun pada masa yang sama menunjukkan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal menyediakan kawalan aspek keselamatan di stadium.
FOTO AFP