Kelayakan Piala Dunia: Jesse Lingard sambut Ronaldo dengan 'siu' dalam seragam England
Astro Arena
September 5, 2021 07:24 MYT
September 5, 2021 07:24 MYT
ENGLAND 4 ANDORRA 0
Jesse Lingard menyifatkan caranya meraikan gol untuk England ketika menentang Andorra sebagai "hadiah sambutan" untuk rakan sepasukan Manchester United, Cristiano Ronaldo.
Lingard membintangi The Three Lions sebentar tadi dengan meledak dua gol sementara mencipta gerakan jaringan buat tandukan Bukayo Saka ketika pasukan asuhan Gareth Southgate itu merangkul kemenangan kelayakan Piala Dunia 4-0 di Wembley.
Ia mengakhiri penantian pemain The Red Devils itu menyumbang gol untuk negaranya apabila kali terakhir melakukannya 1,022 hari lalu, iaitu ketika menentang Croatia pada November 2018.
Lingard kemudian meniru gaya 'siu' Ronaldo yang kembali ke United daripada Juventus selepas 12 tahun.
"Minggu ini saya dan Mason Mount sempat memikirkan cara untuk meraikan gol. Saya menggabungkan gaya sendiri dengan Cristiano dan saya memang berikar untuk melakukannya jika saya mencetak gol," jelasnya kepada beIN SPORTS.
"Ia merupakan satu hadiah yang sangat menarik buatnya. Dia akan segera menyesuaikan diri dan menawarkan bantuan besar buat pasukan pada musim ini."
Southgate turut memuji pemain itu di sebalik kurang minit permainan di peringkat kelab.
"Tidak lama dulu pemain Inggeris kurang menyerlah dalam liga hingga kami terpaksa memanggil pemain yang jarang diturunkan mahupun dipinjamkan. Kami pernah menyenaraikan Mason yang beraksi dalam kancah Liga Kejuaraan jadi kami perlu kreatif," katanya.
"Kami tahu Jesse berdepan cabaran dan dia juga sedar sedang menghadapi cabaran besar dengan kehadiran ramai pemain di bahagian serangan di United. Tapi pemain ini juga akan terbabit dalam banyak dalam kejohanan berbeza jadi saya harap dia mampu menyahutnya."
England sedang memimpin Kumpulan I dengan memungut 15 mata sambil diekori Poland dan Albania.
#jesse lingard
#Cristiano Ronaldo
#England
#Andorra
#tiru gaya 'siu' Ronaldo
#kelayakan Piala Dunia 2022