Kelayakan Piala Dunia: Edisi 1994 jadi azimat Sepanyol tumbangkan Sweden selepas ini
Astro Arena
November 12, 2021 09:05 MYT
November 12, 2021 09:05 MYT
GREECE 0 SEPANYOL 1
Luis Enrique menegaskan Sepanyol tetap akan memburu kemenangan ketika menentang Sweden pada awal pagi Isnin depan walaupun keputusan seri sudah memadai untuk mereka memenangi Kumpulan B, seterusnya layak ke Piala Dunia di Qatar tahun depan.
Sepanyol menduduki tempat teratas kumpulan selepas menewaskan Greece 1-0 di Athens apabila mengambil kesempatan ke atas Sweden yang tewas mengejut 0-2 di Georgia, awal pagi tadi.
Sepakan penalti Pablo Sarabia dalam separuh masa pertama sudah cukup untuk memastikan kemenangan buat La Roja untuk nasib berada di tangan mereka sendiri, tetapi ketua jurulatih itu berkata mereka akan tetap memburu tiga mata apabila melayan kunjungan Sweden di Seville dalam aksi terakhir di peringkat kumpulan.
"Kami akan turun untuk menang seperti yang kami lakukan dalam setiap perlawanan ketika menentang lawan yang sangat sukar, hanya itu satu-satunya elemen yang menjadi azimat kami," kata Luis Enrique kepada pemberita.
"Saya harap peminat akan menjadi pemain ke-12 buat kami."
Luis Enrique gembira dengan rentak permainan anak buahnya di Greece sambil berkata mengakui melihat peningkatan persembahan daripada pasukan tuan rumah berbanding ketika seri 1-1 pertemuan pertama lalu.
“Greece telah banyak meningkat sejak perlawanan pertama kami di Sepanyol,” tambahnya.
"Terima kasih atas sikap dan usaha pemain, kami telah membawa bekalan untuk perlawanan selepas ini iaitu menentang sebuah pasukan yang bekerja keras.
"Saya fikir kami boleh beraksi dengan lebih baik lagi. Kami menangani cabaran pertama iaitu mematahkan serangan mereka.
"Saya gembira dengan sikap pasukan sendiri. Mereka tidak dicengkam kerana perlawanan ini bukan mudah.
“Pemain telah melaksanakan satu tugas yang hebat, mereka berjaya mengatasi kesukaran dan bercita-cita tinggi.
"Kami mempunyai dinamik yang positif. Sentiasa ada perkara yang perlu diperbaiki tetapi kami menerima sokongan ini hasil usaha berpasukan."
Luis Enrique meedakan kebimbangan mengenai situasi Gavi selepas pemain tengah remaja itu dikeluarkan dalam babak kedua ekoran kecederaan muka dengan menjelaskan pemain itu dalam keadaan baik.
Bintang muda Barcelona itu sekali lagi memperagakan aksi yang mengagumkan dengan menyempurnakan 100 peratus daripada 43 hantarannya, termasuk 32 kali di kawasan lawan.
Perlawanan Sepanyol menentang Sweden akan dilangsungkan di Estadio La Cartuja, Seville, lantas Luis Enrique menegaskan dia sekali lagi mahu penyokong memberikan sorakan gemuruh buat pasukannya.
"Ketika bergelar pemain, kami pernah layak ke Piala Dunia menentang Denmark di Seville. Saya tidak ingat perlawanan yang serupa sepanjang karier saya di mana peminat benar-benar memberi dorongan kepada kami seperti hari itu," katanya yang mengimbau kemenangan tipis 1-0 dalam kelayakan Piala Dunia 1994.
"La Cartuja (Seville) perlu bergema."