Kelayakan Piala Dunia: Campur tangan kerajaan gantung aksi Brazil-Argentina
Astro Arena
September 5, 2021 06:44 MYT
September 5, 2021 06:44 MYT
PERLAWANAN di antara Brazil dan Argentina di Sao Paolo sebentar tadi digantung selepas pegawai kesihatan tuan rumah mendapati Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) memalsukan dokumen pemain mereka.
Seperti Kerajaan United Kingdom (UK), Brazil juga mengambil langkah menyenaraikan pemain yang dari benua Eropah itu dalam zon merah dalam usaha mengekang COVID-19.
Liga Perdana Inggeris (EPL) dan LaLiga melarang sejumlah pemainnya ke Amerika Selatan bagi kempen kelayakan Piala Dunia bagi mengelak pemain menjalani kuarantin selama 10 hari sekembalinya ke UK.
Pengecualian itu diberikan kepada pemain Aston Villa dan Tottenham iaitu Emiliano Martinez, Cristian Romero, Giovani Lo Celso dan Emiliano Buendia sambil beberapa nama besar khususnya daripada Liverpool tidak mendapat pelepasan.
Mereka diturunkan dalam kemenangan ke atas Venezuela minggu lalu, namun sudah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Brazil bahawa khidmat keempat-empat mereka tidak dibenarkan berhubung peraturan pandemik itu.
Namun, sebaik perlawanan bermula pegawai kesihatan mula campur tangan selepas mendapati amaran mereka tidak diendahkan.
Perlawanan itu pada awalnya hanya ditakrifkan sebagai terganggu -- yang menyaksikan anak buah Lionel Scaloni tersebut menuju ke bilik persalinan sementara kesebelaan The Selecao kekal di padang -- sebelum Argentina mengesahkan ia digantung.