Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027: Malaysia miliki ramai pemain warisan, naturalisasi - Pan Gon
Astro Arena
November 22, 2023 08:40 MYT
November 22, 2023 08:40 MYT
KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, tampil memberikan jawapan kepada media Chinese Taipei yang menyatakan skuad kebangsaan dibarisi ramai tonggak import.
Malaysia memperoleh kemenangan penting dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, jaringan tunggal penyerang Sabah FC, Darren Lok, cukup mengecewakan tuan rumah di Stadium Perbandaran Taipei.
Dalam sidang media pasca perlawanan, terdapat segelintir pihak yang menyatakan Malaysia tidak menurunkan pemain tempatan dalam perlawanan tersebut.
Tanpa berlengah selepas jurubahasa memberikan soalan media tempatan, Pan-gon berkata, "Kami memiliki ramai pemain warisan, mereka tidak dilihat sebagai pemain import.
"Sementara Malaysia turut dibaris pemain naturalisasi, mereka telah mengambil keputusan yang sukar untuk bertukar pasport untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia. Ia bukanlah satu keputusan yang mudah.
"Kita boleh mengambil contoh sebagai pasukan Perancis, rata-rata daripada mereka bukanlah pemain tempatan dari negara tersebut.
"Ini adalah satu aliran yang sudah umum, sebagai langkah untuk terus mempertingkatkan kualiti pasukan kebangsaan.
"Kualiti mereka turut terbukti berdasarkan prestasi mereka sepanjang tempoh yang panjang sebelum membarisi skuad kebangsaan. Dan setiap apa yang telah dilakukan untuk pasukan ini tidak melanggar sebarang peraturan.
"Saya berasakan isu ini tidaklah perlu diperbesarkan, tidak perlu 'complain' dan kita semua perlulah menikmati bola sepak."